KUALA LUMPUR – Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris perlu ‘cermin diri’ sebelum mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur.
Exco Pemuda UMNO, Mohd. Ar Rahman Hussin berkata, semua pihak boleh meminta Perdana Menteri menjawab isu tertentu tetapi ia bukan bermaksud perlu mendesak Najib supaya berundur.
“Jika jawapan yang dimahukan, maka bersamalah kita menunggu kerana saya yakin beliau (Najib) akan menjawab semua isu yang diajukan. Mengapa nak mencari publisiti?
“Saya ingin mengajak orang ramai menepuk dada sendiri dan bertanya sejauh manakah Perkasa ini relevan. Pilihan raya lalu memperlihatkan tiada satu pun calon mereka yang menang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Ar Rahman turut membandingkan budi dan jasa di antara Perdana Menteri dan Perkasa kerana banyak polisi yang diperkenalkan Najib untuk membantu orang Melayu.
Beliau memberi contoh pelan pembangunan ekonomi bumiputera yang dilancarkan Perdana Menteri pada tahun lalu suatu indikator keikhlasan beliau dalam menaikkan taraf hidup bangsa Melayu.
“Saya tetap yakin dan percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri. Jadi, Ketua Wira Perkasa usahlah cuba menangguk di air yang keruh. Perjuangan untuk bangsa Melayu tidak cukup dengan sekadar membuat kenyataan akhbar sahaja,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC