KUALA LUMPUR – Anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) telah berjaya melaksanakan 90.5 peratus daripada langkah integrasi sehingga akhir Mac, dalam usaha untuk merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, 457 daripada 505 langkah itu telah dilaksana dan kumpulan itu mampu mencapai sasaran 95 peratus menjelang akhir tahun ini.
“Pelbagai langkah telah dilaksana termasuk tarif, pelaburan, perkhidmatan, pengangkuan udara, prosedur dan standard kastam.
“Baki 9.5 peratus yang belum dilaksana termasuk pakej perkhidmatan ke-10, skim pensijilan sendiri, kerjasama dengan Jepun dan tingkap tunggal ASEAN,” katanya di sesi pleno di Persidangan Invest Malaysia 2015 di sini, hari ini.
Persidangan dua hari yang akan berakhir hari ini, dianjur secara bersama oleh Bursa Malaysia dan CIMB Group.
Mustapa berkata, walaupun terdapat halangan dalam pembentukan AEC, beliau gembira melihat perniagaan berkembang pesat di rantau ini dengan pertumbuhan mampan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN.
Sementara itu, beliau berkata, Indonesia kekal komited kepada ASEAN walaupun penasihat dasar luar presiden, Rizal Sukma menyatakan negara itu mungkin melihat lebih jauh daripada ASEAN dalam dasar luarnya.
Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik, Mustapa berkata, beliau menaruh harapan kepada prospek pembentukkan Pihak Berkuasa Promosi Perdagangan AS kerana jika dilulus Kongres, ia akan memberi penekanan kepada proses itu. – BERNAMA

