KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerima dua aduan penyalahgunaan nombor pendaftaran (ID) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh dua premis menjual makanan.
Penolong Kanan Pengarah Kastam Zaizah Zainuddin berkata aduan itu diterima Ibu Pejabat Kastam Kuala Lumpur semalam, melibatkan masing-masing sebuah premis di Lembah Klang dan di negeri pantai timur semenanjung.
“Ini adalah aduan pertama kami terima berkaitan kesalahan penyalahgunaan ID GST dan siasatan terhadap premis terlibat sedang dijalankan oleh unit penguatkuasaan Kastam.
“Ada pengguna yang prihatin membuat aduan kepada Kastam apabila beliau mendapati ID GST yang tertera di resit yang diterimanya tidak sepadan dengan nama syarikat terbabit sebaliknya milik syarikat lain,” katanya kepada Bernama dalam program Ruang Bicara Bernama TV di sini, malam tadi.
Katanya penyalahgunaan ID GST ini adalah satu kesalahan serius kerana ia melibatkan penipuan peniaga terhadap pengguna.
Beliau berkata pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan prihatin terhadap invois atau resit pembelian yang diterima serta membuat semakan jika mengesyaki sebarang penyalahgunaan.
“Pengguna boleh menyemak menggunakan telefon bimbit dengan melayari portal gst.custom.gov.my, klik butang semakan syarikat berdaftar GST dan masukkan maklumat yang diperlukan seperti dalam paparan skrin.
“Sekiranya nama syarikat serta nombor ID perniagaan tersebut tepat maklumat selanjutnya akan dipaparkan, dari situ pengguna boleh ketahui sama ada syarikat itu berdaftar atau pun tidak,” katanya.
Zaizah berkata sehingga hari ini, JKDM telah membuka 13 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan melibatkan GST termasuk kesalahan mengenakan cukai walaupun tidak berdaftar dengan JKDM dan kesalahan tidak memaparkan ID GST dengan jelas.
Sehingga Khamis lepas, JKDM menerima sebanyak 3,804 aduan berkaitan GST yang melibatkan tiga jenis kesalahan iaitu kenaikan harga barangan, caj perkhidmatan, kad prabayar; pengeluaran invois tidak mengikut kriteria dan kesalahan berkaitan prosedur jabatan. – BERNAMA

