TAWAU – Umat Islam perlu terus menghayati ajaran dalam kitab suci al-Quran serta menjadikan ia amalan dalam kehidupan harian, kata Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob.
Beliau berkata, maksud dan tafsiran al-Quran perlu dibuat kajian secara mendalam terhadap setiap kalimah sebelum memikirkan tujuan ayat tersebut diturunkan dan kesinambungannya terhadap ummah.
“Ia penting kerana penghayatan kepada isi kandungan ayat-ayat suci al-Quran juga akan memberi inspirasi dan galakan untuk lebih berusaha mendekatkan diri kepada ilahi dan menguasai segenap bidang ilmu pengetahuan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Bahagian, di sini malam tadi.
Beliau juga berkata umat Islam perlu bersiap sedia dan menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran dan maklumat semasa agar dapat bergerak seiringan dengan tuntutan zaman.
“Umat Islam juga perlu kembali kepada asas ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan dalam membina kekuatan diri ke arah membangunkan ummah yang berdaya saing, mapan dan berjaya,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, Ismail berkata ia merupakan wadah umat Islam untuk mencintai Al-Quran terutamanya generasi muda yang akan menjadi pewaris kepada perjuangan membela agama, bangsa dan negara pada masa depan.
Pada majlis itu, peserta dari Semporna Abdullah Abdul Wahid dan Siti Hatijah Marsuki dari Lahad Datu muncul sebagai Johan Qari dan Qariah Perujian Tilawah al-Quran peringkat bahagian, sekali gus akan mewakili Tawau ke peringkat negeri yang akan diadakan pada 18 dan 19 Mac, di Tuaran.
Majlis Tilawah yang berlangsung di perkarangan Masjid Babul Saadah, Kampung Muhibbah Raya, di sini itu disertai 13 Qari dan Qariah yang mewakil daerah Tungku, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. – BERNAMA

