KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini digesa agar bersatu dan saling membantu selain memberi kepercayaan kepada anggota pasukan keselamatan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.
Imam I Masjid Bukit Aman, Supt Ghazali Daud semasa menyampaikan khutbah Jumaat berkata kekuatan pasukan keselamatan dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan dan keamanan negara.
Beliau berkata tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara, tidak akan tercapai
“Kepada anggota Polis Diraja Malaysia, mimbar ingin berpesan agar senantiasa berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakkal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan amanah mengikut ajaran Islam,” katanya.
Beliau menyampaikan khutbah bertajuk ‘Keamanan Dipelihara, Ummah Sejahtera’ di Masjid Bukit Aman sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Timbalannya Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim serta para pegawai dan anggota polis yang lain.
Khutbah disiarkan secara langsung oleh RTM sempena Sambutan Hari Polis Ke-208 yang bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Sempena tema itu, Khatib berharap ia dapat menarik minat masyarakat untuk sama-sama membantu menjaga keamanan serta keselamatan negara.
Beliau berkata dalam setiap diri masyarakat perlu diwujudkan sikap prihatin atau ambil peduli keadaan sekeliling dan tidak bersikap lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pasukan keselamatan untuk menangani jenayah.
“Keadaan ini akan menyebabkan gejala jenayah terus berleluasa yang akhirnya hanya merugikan kita (masyarakat) sendiri,” katanya.
Ghazali mengingatkan keamanan merupakan nikmat paling besar di mana ia mampu memberi sumbangan besar ke arah kemakmuran dan kesejahteraan hidup manusia.
“Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia dan negara,” katanya. – BERNAMA
