IPOH: Empat khatib yang juga imam masjid di negeri ini digantung tugas sementara kerana menyampaikan khutbah Jumaat bukan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 31 Januari lalu.
IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB DI WHATSAPP…..
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pengarah JAIPk, Zakaria Abd Razak berkata mereka terbabit didapati membaca khutbah dari negeri lain manakala satu lagi keluaran tahun 2023.
Menurutnya, empat imam terbabit yang turut digantung bayaran imbuhan, masing-masing bertugas di daerah Kerian, Parit Buntar serta daerah Hilir Perak dan Kuala Kangsar di Teluk Intan.
Katanya, surat tahan tugas dan imbuhan itu dikeluarkan JAIPk pada 6 Februari lalu iaitu seminggu selepas kesalahan berkenaan dikesan.
Katanya, arahan penggantungan itu dijangka berkuatkuasa hingga awal bulan Ramadan ini sementara menunggu Jawatankuasa Tatatertib JAIPk bersidang.
“Setakat ini hanya empat imam dan jika ada lagi maka kita akan buat susulan (tindakan) yang sama juga, dengan tempohnya (penggantungan) berganung pada tarikh Jawatankuasa Tatateetib bersidang yang dijangkakan sekitar dua minggu dari sekarang.
“Sekarang ini kita sedang sibuk dengan urusan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri serta program Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang turut membabitkan anggota jawatankuasa tatatertib berkenaan.
“Jadi, kemungkinan pada awal Ramadan jawatankuasa itu boleh bersidang,” katanya selepas program Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 1446H/2025M di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) dekat Tasek, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Masjid berkenaan, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah.
Media sebelum ini melaporkan JAIPk diarah menyiasat dakwaan mengenai seorang khatib di Parit Buntar yang tidak membaca teks khutbah Jumaat dikeluarkan jabatan itu pada 31 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata tindakan tegas penggantungan empat khatib itu dibuat susulan keprihatinan ditunjukkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap perbuatan itu yang dianggap melanggar amanah digalas menerusi watikah disampaikan oleh baginda.
“Tuanku (Sultan Nazrin) memang ambil berat tentang ini sebab imam (yang dilantik) atas nama pegawai masjid. Tuanku yang tauliahkan dan beri seperti menerusi majlis penyampaian watikah.
“Jadi baginda amat dukacita kerana baginda sudah beri tauliah sebagai imam atau khatib di bawah peraturan yang sudah ditetapkan namun ianya tidak diikuti,” katanya.
Zakaria berkata Jawatankuasa Tatatertib akan mempertimbangkan alasan diberikan semua imam terbabit atas kegagalan membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan.
“Rata-rata mereka memberi alasan tidak boleh buka komputer peribadi untuk dapatkan khutbah yang masuk menerusi emel masjid bagi minggu itu.
“Kemungkinan sebelum ini pun mungkin ada khatib yang tidak baca khutbah disediakan. Cuma mungkin tidak diadukan yang menjadikan kita tiada maklumat. Akhirnya senyap begitu sahaja,” katanya.
Zakaria berharap ajar setiap ahli jawatankuasa kariah masjid khususnya pengerusi dan setiausaha masjid dapat memantau serta mengambil langkah proaktif dengan memastikan setiap khatib menyampaikan khutbah mengikut teks dikeluarkan JAIPk bertepatan mengikut sesuatu minggu.
BHonline-