KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menganggap Johor Darul Takzim (JDT) akan berhadapan perlawanan yang sukar bagi pasukan itu malam ini.
Baginda yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, JDT akan bertarung dengan lawan yang merupakan juara bertahan Piala FA, Pahang.
“Perlawanan malam ini adalah yang paling sukar bagi pihak kita (JDT), kerana kita bukannya melawan pasukan biasa, kita akan melawan juara bertahan dan juga yang paling utama melawan sistem sedia ada.
“Ianya diibaratkan seperti parti pembangkang nak menentang parti pentadbiran,” titah baginda seperti dilaporkan oleh laman Facebook Johor Southern Tigers petang ini.
Justeru, Tunku Ismail berharap pengadil akan bersikap profesional dan adil dalam mengendali aksi malam ini serta berharap agar penyokong kedua-dua pasukan tidak terlalu mengikut emosi.
“Walau apapun, pertembungan di antara pasukan JDT dan Pahang adalah sihat kerana ia merancakkan lagi sukan bola sepak tanahair.Ucapan selamat berjaya kepada pasukan JDT dan Pahang,” titah baginda.
Pengendali laman Facebook Johor Southern Tigers dalam pada itu meminta orang ramai salah tafsir mengenai kenyataan ibarat parti pembangkang melawan parti pentadbiran seperti yang disebut Tunku Ismail.
Jelas Johor Southern Tigers, itu satu kenyataan umum yang boleh ditujukan dimana-mana dan bukan ditujukan kepada senario politik tempatan sahaja.
Maksud tersiratnya “bukan senang untuk orang kerdil menentang orang yang dah lama bertapak”.
JDT akan bertemu dengan Pahang dalam aksi pertama Piala FA bagi kedua-dua pasukan musim ini di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. – mynewshub.cc

