BEPPU (Jepun) – Di Ritsumeikan Asia Pacific University (APU), yang menghimpunkan mahasiswa dari 80 negara termasuk Jepun dan anggota ASEAN, 90 peratus daripada pelajarnya memperoleh pekerjaan sebelum tamat pengajian.
Kampus itu, terletak 400 meter di atas aras laut yang menyajikan pemandangan Beppu City, gunung-ganang dan lautan yang memukau, 989 daripada kemasukan 5,796 pelajar semasa adalah dari negara ASEAN, sebahagian besarnya dari Vietnam.
Dekan Kemasukan Kolej Pengajian Asia Pasifik APU Prof Dr Kondo Yuichi berkata lazimnya pelajar mendapat pekerjaan antara enam bulan hingga setahun sebelum tamat pengajian dengan tawaran kerja daripada syarikat Jepun seperti Nissan dan Toshiba.
“Sektor perniagaan sering datang ke sini dan mahu menawarkan kerja kepada pelajar kami tanpa mengira kewarganegaraan mereka, dan kami memberi latihan yang sangat baik,” katanya kepada sekumpulan wartawan ASEAN yang menyertai program jemputan Kementerian Hal Ehwal Luar Jepun di sini baru-baru ini.
Beliau berkata pada masa ini, kira-kira separuh daripada pelajar antarabangsa dari 80 negara itu terus tinggal di Jepun selepas tamat pengajian memandangkan bukanlah sukar bagi syarikat yang mengambil mereka bekerja untuk mendapatkan permit kerja dalam tempoh setahun.
Baki 50 peratus lagi akan pulang ke negara asal mereka atau ke negara ketiga, katanya, dan menambah Singapura adalah negara paling popular bagi siswazah APU.
“Kami menerima kira-kira 80 pelajar dari negara ASEAN setiap tahun,” katanya, dan menambah universiti itu banyak memberi tumpuan kepada bidang perniagaan antarabangsa, stail Jepun, dan isu kompleks yang mendepani rantau Asia Pasifik sebagai tarikan utama kepada bakal majikan warga Jepun.
Dibuka pada April 2000, APU adalah universiti pertama Jepun yang juga universiti antarabangsa terulung yang dikendalikan secara persendirian dan mendapat akreditasi sepenuhnya daripada Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun.
Kondo berkata ketika ini terdapat hanya 10 pelajar Malaysia, antaranya disebabkan perbezaan silabus pendidikan, namun perancangan sedang dibuat untuk menjalin perkongsian dengan universiti di Malaysia pada April.
Beliau berkata kehadiran pelajar antarabangsa turut menceriakan penduduk tempatan di Oita Prefecture ketika mereka mengambil bahagian dalam perayaan setempat, melawat sekolah rendah dan mempelajari adat resam serta bahasa setempat.
Kondo berkata pelajar perlu mempelajari bahasa Jepun dalam tahun akhir, yang digambarkannya sebagai “tugas yang sangat sukar”.
Edy Susanto, 26, pelajar tahun empat Pengurusan Antarabangsa, yang berasal dari Surakarta, Indonesia, berkata beliau lebih gemar untuk bekerja dengan sebuah syarikat Jepun di sini selama beberapa tahun selepas tamat pengajian untuk menimba pengalaman sebelum kembali ke tanah airnya.
Sebagai pemegang biasiswa APU daripada Yayasan Biasiswa Pendidikan Antarabangsa Jepun, beliau memasuki universiti itu sebagai pelajar berpusat di Jepun dan mempelajari bahasa Jepun sebelum datang di sini.
“Pengalaman saya belajar dengan banyak pelajar daripada pelbagai latar budaya memberi saya pandangan berbeza, selain mendedahkan budaya, lagu dan tarian Indonesia kepada penduduk Oita,” katanya, dan menambah mereka turut memahami konsep makanan ‘halal’ bagi umat Islam sepertinya.
Seorang lagi pemegang biasiswa APU, Nghiem Quoc Hoai Minh, 22, pelajar tahun tiga Pengajian Asia Pasifik dari Ho Chi Minh City, Vietnam, adalah seorang daripada 423 pelajar Vietnam di kampus itu.
Beliau berkata pada mulanya, tempat mandi awam Jepun memberi kejutan budaya kepadanya namun kini, beliau menikmati kemudahan itu setiap hari yang disediakan di asramanya.
Hiroko Maibe, 20, pelajar tahun dua jurusan Pengurusan dari Nagoya City, yang bersekolah menengah di Amerika Syarikat, berkata beliau sangat menghargai peluang untuk belajar dan menjalin persahabatan dengan pelajar ASEAN di sini,
terutamanya dari Indonesia. – BERNAMA