KOTA KINABALU – Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pengurusan sumber air di Sabah perlu dikaji semula.
Katanya langkah itu perlu diambil bagi menjamin wujudnya kecekapan dari segi pengurusan air di negeri ini bagi mengimbangkan permintaan terhadap air antara bidang sosioekonomi, termasuk industri dan pertanian, dengan kepentingan melindungi kawasan tadahan.
Sejajar dengan itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat supaya bekerjasama bagi menyokong urusan pengurusan air secara cekap untuk memastikan sumber air di Sabah tidak tercemar, sentiasa boleh diharapkan dan selamat untuk dibekal kepada pengguna.
“Adalah suatu hakikat bahawa hujan tidak semestinya berlaku di kawasan yang amat diharapkan. Oleh itu, sumber air di Sabah perlu diurus dengan lebih berkesan,” kata Musa, yang juga Menteri Kewangan negeri.
Musa berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca timbalan beliau, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada Persidangan dan Pameran Hari Air Sedunia peringkat Negeri Sabah 2015 di sini hari ini.
Sebanyak 14 kertas kerja akan dibentang pada persidangan dua hari itu. – BERNAMA

