KUALA LUMPUR – Gara-gara membakar suar di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil ketika menyaksikan perlawanan bola sepak pada Kelayakan Piala Dunia 2011, seorang pembantu kedai sate didenda RM1,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap Sazali Azizan, 34, selepas dia mengaku bersalah memiliki bahan letupan itu ketika menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Singapura di stadium itu di Cheras di sini, pada 8.30 malam, 28 Julai 2011.
Sazali didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, polis yang meronda di dalam stadium semasa perlawanan itu menangkap tertuduh ketika memegang suar yang menyala.
Ketika rayuan, peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan dia perlu menjaga ayahnya yang sakit buah pinggang di Kulai, Johor selain insaf dengan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak mengulangi kesalahan sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Jazilah Mohd Yushaa bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada tertuduh. – BERNAMA

