Friday, June 14, 2024

Creating liberating content

42 GRO Warga Asing...

IPOH - Seramai 42 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam satu...

Amyra Rosli Serah Soal...

"KETIKA bujang, orang asyik bertanya bila nak kahwin. Selepas berkahwin, ditanya pula bila...

PMKS Boleh Tangguh Laksana...

ALOR SETAR - Kerajaan memberikan kelonggaran kepada majikan usahawan perusahaan mikro kecil dan...

Siti Nurhaliza Kongsi Pengalaman...

PERTAMA kali menghadapi kehamilan, Datuk Siti Nurhaliza ternyata begitu teruja menghadapi perubahan-perubahan yang...

PAS Menang Mudah Pada Pilihanraya Kecil Dun Chempaka?

KUALA LUMPUR – Banyak pihak menjangkakan PAS berhadapan laluan mudah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan pada pilihan raya kecil (PRK) kerusi itu 22 Mac ini.

Mereka berpandangan ini kerana seteru politiknya, Barisan Nasional (BN) mengumumkan tidak bertanding di kawasan itu bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan serta membantu mangsa banjir di negeri itu, demi perpaduan ummah.

Namun, laluan mudah mempertahankan kerusi itu bukan bermakna PAS akan menang tanpa bertanding. Ini kerana sudah ada cakap-cakap calon bebas menawarkan diri bertanding dalam PRK itu bagi memberi tentangan kepada PAS.

Penganalisis politik berpendapat kehadiran calon bebas sebagai ‘penyeri’ bagi menghangatkan suasana pilihan raya tetapi ada juga yang berperanan sebagai ejen pemecah undi.

SUKAR BERI SAINGAN

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Madya Mohamed Fadzil Che Din berkata calon bebas berpendapat bahawa tidak ‘meriah’ jika tidak ada pertandingan dalam sesuatu pilihan raya.

Hakikatnya agak sukar untuk calon bebas memberi saingan apatah lagi jika suatu kawasan pilihan raya itu merupakan kubu kuat parti politik tertentu.

“(Dalam pilihan raya kecil DUN Chempaka) saya berpandangan pengundi akan memberikan undi kepada PAS ditambah pula ia kerusi milik Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.

Tidak dinafikan, penyertaan calon bebas sebelum ini mengubah sedikit sebanyak lanskap politik tanah air apabila ada di kalangan mereka berjaya meraih tempat sebagai wakil rakyat.

Antara beberapa contoh, pada pilihan raya umum 2004, calon bebas Chong Hon Min yang bertanding di Parlimen Sandakan, Sabah berjaya mendapat tempat apabila menang dalam saingan tiga penjuru antara Lau Ngan Siew daripada BN dan Liew Teck Khen @ Liaw Teck King daripada Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (PASOK) dengan majoriti 1,330 undi.

Pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 menyaksikan calon bebas Gabriel Adit ak Demong menewaskan dua pencabarnya Alexander ak Vincent daripada BN dan Richard ak Lias daripada Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) di kerusi DUN Ngemah dengan majoriti 549 undi.

Pada pilihan raya negeri Sarawak 2011, George Ak Lagong yang bertanding sebagai calon bebas berjaya menewaskan Stanley Nyitar @ Unja ak Malang (BN) dan Edward Sumbang ak Asun daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi DUN Pelagus dengan majoriti 2,837 undi.

Dalam konteks Semenanjung, setakat ini belum ada lagi calon bebas yang dipilih berdasarkan kapasitinya, tetapi ada yang berjaya menjadi wakil rakyat bebas apabila bertanding menggunakan platform parti lain seperti BN, PAS dan PKR.

CALON BEBAS DIPANDANG REMEH?

Bagaimana pandangan PAS terhadap kehadiran calon bebas pada pilihan raya kecil Chempaka?


Dua Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkongsi pendapat bahawa sebagai negara demokrasi, sesiapa sahaja berhak bertanding dalam sesuatu pilihan raya yang diadakan.

Salahuddin berkata PAS tetap akan bertanding dan bersiap sedia menghadapi cabaran dalam PRK DUN Chempaka.

“Walaupun BN tak bertanding, adakah calon bebas yang bertanding ini atas tajaan pihak tertentu? Ini yang menjadi persoalan. Apa-apa pun, tiada salahnya calon bebas bertanding dan kita tidak kisah sangat perkara itu,” kata Salahuddin kepada Bernama.

Tuan Ibrahim berkata penyertaan calon bebas telah dijangkakan PAS meskipun BN mengumumkan tidak meletak calon pada pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata PAS tidak memandang remeh penyertaan calon bebas, malah persiapan jentera telah dipersiapkan sepenuhnya selain berharap kerusi itu kekal milik parti.

“Penglibatan calon bebas adalah sesuatu yang dijangka dan saya dengar ada seorang dan mungkin dua calon bebas yang berminat untuk bertanding di kerusi itu. PAS hadapi PRK ini dengan persiapan yang rapi dan pada 8 Mac ini kami akan umumkan calon,” katanya kepada Bernama.

Pada 26 Feb lepas, Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin, 55, dilapor menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon bebas pilihan raya kecil Chempaka.

Fadzillah, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia, berikrar memberi tumpuan kepada perpaduan dan kesatuan masyarakat Melayu di kawasan itu selain menyatupadukan semula masyarakat Melayu di Kelantan.

IMPAK CALON BEBAS

Mampukah calon bebas memberi saingan kepada PAS?

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali berpendapat penyertaan calon bebas tidak memberi impak besar kepada sesuatu pilihan raya, termasuk kali ini pada pilihan raya kecil DUN Chempaka.

“Kalau ada pun yang mengundi calon bebas, ia dapat dilihat mungkin daripada segi protes daripada penyokong BN sendiri kerana tidak berpuas hati parti itu tidak bertanding atau mereka tidak keluar mengundi langsung,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN Chempaka pada 22 Mac manakala hari penamaan calon ialah pada 10 Mac.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Nik Aziz akibat kanser prostat pada 12 Feb lepas. Pada pilihan raya umum ke-13, Mursyidul Am PAS itu menang dengan majoriti 6,500 undi menewaskan calon BN Wan Razman Wan Abd Razak. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • PAS

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori