KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim (DM) 9 Kuala Terengganu memberkas 40 orang nelayan asing kerana menceroboh perairan negara.
Tangkapan dibuat ekoran pemeriksaan ke atas empat bot pukat jerut nelayan Vietnam kira-kira 120 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Ketua Penguatkuasa DM 9, Laksamana Pertama Maritim Xavier Thevandas berkata pada mulanya tiga bot asing itu ditahan manakala sebuah lagi tidak lama kemudian.
Beliau berkata hasil tangkapan laut yang keseluruhan bernilai lebih RM1.5 juta turut dirampas.
Para nelayan itu tidak memiliki dokumen kebenaran untuk menangkap ikan di perairan negara, katanya.
Kesemua mereka direman selama dua mingggu.
Xavier berkata bagi tempoh tiga bulan ini, 19 bot nelayan asing dan dua bot nelayan tempatan yang menggunakan khidmat nelayan asing ditahan kerana melanggar syarat menangkap ikan. – BERNAMA

