KUCHING – Polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan menahan tujuh lelaki termasuk dua warga Indonesia kerana dipercayai menjalankan perjudian dalam talian secara haram di pekan Teng Bukap, Jalan Padawan, kira-kira 60 kilometer dari sini, petang semalam.
Menurut jurucakap polis, tangkapan dibuat semasa sepasukan polis dari IPD Padawan yang menyerbu sederet rumah kedai papan di pekan berkenaan 4.05 petang semalam.
Katanya, ketika serbuan dilakukan terdapat lima lelaki di dalam premis berkenaan dan polis turut merampas 37 komputer pelbagai jenama, tiga unit D Link, tiga unit TP Link dan wang tunai.
Beliau berkata kesemua lelaki dan barang rampasan dibawa ke IPD Padawan untuk siasatan lanjut.
Katanya, warga Indonesia yang bekerja sebagai penjaga premis ditahan di lokap Balai Polis Siburan dekat sini sementara lima lelaki tempatan dibebaskan dengan jaminan polis setelah mengambil keterangan mereka. – BERNAMA
Video: Polis Mohon Kuasa Penuh Tangani Judi Haram