KULIM – Polis merampas dadah jenis heroin seberat 3.6 kilogram bernilai RM64,000 dan sembilan kotak mercun pelbagai jenama berjumlah RM8,500 berikutan penahanan dua lelaki warga India dalam serbuan berasingan di sekitar bandar ini Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Abdullah Arshad berkata seorang daripada lelaki terbabit yang ditahan itu berumur 38 tahun dan bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan di sini.
Suspek itu kemudian membawa polis ke belakang sebuah rumah di Taman Jati di sini sebelum polis menemukan dadah tersebut yang disorokkan dalam sebuah kereta di situ, katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Susulan itu, polis menyerbu sebuah premis dan menahan seorang lagi lelaki berumur 32 tahun yang bekerja di sebuah salun menggunting rambut di Taman Cengal di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menemukan pelbagai jenis mercun di premis itu.
Abdullah berkata polis masih menyiasat untuk memastikan sama ada suspek yang ditahan adalah keldai dadah memandangkan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau. – BERNAMA