Friday, April 26, 2024

Creating liberating content

Gudang Simpan Peralatan Pilihanraya...

PETUGAS keselamatan yang menjaga gudang penyimpanan peralatan pilihan raya di Boyolali, Jawa Tengah,...

85 Peratus Premis Perniagaan...

KUANTAN: Kira-kira 85 peratus premis perniagaan di sekitar bandaraya Kuantan didapati belum mengibarkan...

LHDN Saman Addy Kanna,...

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengheret seorang ahli perniagaan yang sebelum ini ditahan atas tuduhan berkaitan perjudian dalam talian, atas dakwaan memiliki tunggakan cukai sebanyak RM1.4 juta.

Michelle Yeoh Dilantik Duta...

KUALA LUMPUR - Pelakon Bond, Michelle Yeoh telah dilantik sebagai Duta Muhibah Program...

Pendidikan Seks, Di Sekolah Rendah Atau Menengah?

KUALA LUMPUR – Apabila berbicara tentang pendidikan seks, ramai yang menganggap ia satu perkara tabu kerana beranggapan pendidikan seks hanya berkisar mengenai kelakuan seksual, sedangkan ia mencakupi aspek sangat luas meliputi kerohanian, moral, implikasi dan kesihatan.

Banyak pihak seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) serta ibu bapa mengakui keperluan pendidikan seks di sekolah dapat meningkatkan pengetahuan subjek pendidikan seks dan membantu mengurangkan gejala sosial akibat pembelajaran tidak formal seperti melalui Internet.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, akan dilaksanakan tahun depan.

Modul itu menyasarkan remaja lelaki bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual serta dapat membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga.

Timbul persoalan kenapa hanya remaja lelaki yang perlu diberi pendidikan seks?

PERINGKAT RENDAH ATAU MENENGAH

Pada masa ini pendidikan seks yang meliputi fungsi reproduktif manusia dan penjagaan kesihatan diajar dalam beberapa subjek seperti sains, pendidikan Islam dan moral, serta pendidikan jasmani dan kesihatan.

Bulan lepas, pada awal sesi persekolahan, beberapa petikan di halaman buku teks sekolah rendah menjadi topik perbincangan umum, ekoran silibusnya dikatakan tidak sesuai dan terlalu awal untuk diajar dan difahami di peringkat kanak-kanak.

Antara kritikan mengenai buku teks Pendidikan Kesihatan Tahun Lima ini ialah pengisiannya yang dikatakan keterlaluan apabila menerangkan tentang proses kehamilan ibu dengan perkataan seperti vagina, zakar dan sperma serta gambarajah sistem reproduktif.

Yang demikian, di peringkat manakah pendidikan seks secara formal ini sesuai dilaksanakan – sekolah rendah atau menengah?

Mengulas persoalan ini, pensyarah Kanan dan Pakar Perunding Psikiatri daripada Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata tidak salah untuk pendidikan seks dan proses reproduktif diperkenalkan di dalam mana-mana mata pelajaran di sekolah rendah, namun ia haruslah dibuat secara ringan dan berperingkat.

“Sememangnya ia merupakan keperluan pada zaman kini dan penting bagi mengelak perkara yang lebih memudaratkan kerana sekiranya mereka yang di awal usia remaja tidak diberi informasi (pendidikan seks dan reproduktif), mereka dengan mudah akan mendapatkan maklumat di laman sosial.

“Adalah wajar sekiranya murid terutamanya di tahap dua (murid Tahun 4, 5 dan 6) diperkenalkan dengan elemen itu, tetapi mestilah bersesuaian dengan umur, berlapik dan bukan dengan pendedahan sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

MULAKAN DENGAN PERKARA ASAS

Beliau berkata murid Tahun Tiga atau Empat misalnya, boleh diperkenalkan terlebih dahulu dengan topik asas, antaranya mengenai aspek fizikal lelaki dan perempuan, sebelum didedahkan dengan lebih mendalam ketika Tahun Lima.

“Mereka perlu diajar mengenai tahap interaksi sosial antara lelaki dan perempuan serta kepentingan memelihara kehormatan diri… yang penting tidak perlu gambar atau perkataan yang membayangkan tentang hubungan seksual,” katanya.

Muhammad Muhsin berkata tahap pembelajaran kemudiannya boleh diperluaskan apabila murid memasuki Tahun Enam sebagai persiapan memasuki sekolah menengah kerana sikap ingin tahu akan menjadi lebih tinggi ketika menginjak ke Tingkatan Satu.

“Seterusnya, murid Tahun Enam boleh diingatkan tentang mengelak hubungan berlebihan antara lelaki dan perempuan dan apabila memasuki sekolah menengah pula, terangkan tentang risiko hubungan seks termasuk daripada segi undang-undang rogol di bawah umur dan keburukan akibat kehidupan bebas,” katanya.

Ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan lebih proaktif dan bijak apabila berhadapan dengan soalan mengenai elemen seksual, bagi mengelakkan kanak-kanak atau remaja itu memperoleh jawapan daripada rakan-rakan atau Internet.

ADA BATASAN


Presiden NUTP Hashim Adnan berkata kanak-kanak seawal Tahun Lima sudah boleh didedahkan dengan pendidikan seks, tetapi bukannya pendidikan yang menunjukkan contoh perlakuan seksual atau rangsangan.

“Setiap yang diajar kepada kanak-kanak mempunyai batasannya. Tidak perlulah menceritakan secara terperinci proses yang berlaku sebelum hamil dan melampaui kefahaman kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata pendidikan mengenai batasan perhubungan, agama, menjaga kehormatan diri dan perkara asas undang-undang mengenai apa yang boleh dan tidak boleh adalah lebih penting untuk diterapkan di kalangan murid.

Hashim berharap pihak berkaitan dapat menyemak kembali kandungan bahan pendidikan berkenaan sama ada ia sesuai digunakan oleh kanak-kanak berusia 11 tahun, bagi memastikan ia tidak mendatangkan kesan moral dan implikasi kepada murid.

BUKU TIDAK KETERLALUAN

Seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Perak, Norhadibah Hussaini bagaimanapun berpendapat silibus buku teks itu tidak melampaui batasan murid dan sesuai untuk mereka.

“Silibus pada tahun-tahun sudah juga ada pengisian pendidikan seks termasuk kitaran haid tetapi ia mungkin tidak terperinci seperti tahun ini, apa yang ada di buku itu tidak keterlaluan.

“Ia tidak salah kerana bukan memaparkan gambar orang melakukan hubungan seksual, ia hanya tentang sistem peranakan. Pada zaman ledakan maklumat dan Internet, murid sekarang perlu diberi lebih pendedahan berbanding dahulu,” katanya.

Norhadibah berkata apa yang penting adalah pendekatan dan kaedah digunakan guru dalam menyampaikan dan menerangkan topik berkenaan kepada murid difahami dan tidak disalah tafsir oleh mereka.

“Guru perlu mainkan peranan ketika mengajar… tidak boleh malu dan tegaskan juga nilai-nilai murni dan apa yang boleh dibuat, apa yang tidak. Jangan mengajar bagaikan melepas batuk di tangga, tanpa mengira kesan emosi murid,” katanya.

PANDANGAN IBU BAPA

Bagi seorang penjawat awam, Huda Mohamad Syed, 32, pendidikan seks wajar diajar di sekolah rendah kerana tanpa pengajaran secara formal, murid mungkin terkeliru atau mempunyai persepsi salah apabila mengetahuinya menerusi Internet atau televisyen.

Ibu kepada seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu berkata adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk menjelaskan kepada anak-anak sekiranya timbul keraguan terhadap apa yang dipelajari di sekolah.

“Di peringkat sekolah rendah, murid-murid mungkin masih naif dan menerima apa yang diajar tanpa dipengaruhi emosi rangsangan atau ‘curiosity’ berlebihan. Justeru, secara tidak langsung pengetahuan ini dapat menyediakan diri mereka dalam menghadapi usia remaja.

“Jadi apabila menginjak remaja mereka sekurang-kurangnya sudah jelas tentang sistem reproduktif manusia dan akibat daripada melakukan hubungan seks, hasil daripada pendidikan di sekolah dan bimbingan ibu bapa di rumah,” katanya.

Seorang surirumah, Suzielawati Rahman, 36, berkata meskipun beliau bersetuju pendidikan seks di sekolah, ia perlu diteliti bagi memastikan bahan pengajarannya bersesuaian dengan usia dan pemikiran murid.

“Penerangan terlampau terperinci hingga melibatkan proses hubungan kelamin adalah tidak sesuai dan terlalu berat untuk murid sekolah rendah.

“Jika mahu terapkan pendidikan seks, masukkan tentang menjaga kehormatan… bahagian mana di tubuh tidak boleh disentuh dan tidak boleh dilihat atau tidak boleh diperlakukan sewenang-wenang oleh orang lain,” kata ibu kepada sepasang anak lelaki dan perempuan, masing-masing berusia 11 dan lima tahun.

Syahrulnizam Ahmed Amin, 44, seorang jurutera syarikat swasta pula berkata pendedahan proses seks yang terperinci tidak bersesuaian kepada kanak-kanak kerana mereka belum matang, sebaliknya ia lebih sesuai diperkenalkan ketika mereka memasuki sekolah menengah. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori