KUALA LUMPUR – “Mengapakah (polis) perlu datang ke rumah saya pada lewat malam ketika anak kecil saya sedang tidur.”
Itu reaksi tidak puas hati Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad kerana pihak polis menahannya sewaktu di rumah kira-kira pukul 10 malam tadi.
Beliau yang ditahan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan berhubung perhimpunan haram di depan sebuah pusat beli- belah semalam menganggap tindakan polis itu sesuatu yang aneh.
“Sebagai wakil rakyat, saya tidak mungkin melarikan diri untuk apa-apa sebab.
“Mengapakah mereka perlu mengambil kenyataan saya pada tengah malam jika mereka tidak mempunyai niat menahan saya. Saya bukan seorang penjenayah ganas. Tuduhan ke atas saya bersifat politik dan seharusnya dilayan sedemikian,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia mendakwa pernah menyatakan akan memberi kerjasama kepada pihak polis maka tidak perlu seramai 10 anggota polis dihantar bagi menahannya malam tadi.
Justeru, beliau melahirkan rasa kesal kerana dibawa dengan kereta polis ke Balai Polis Jinjang bagi memberi keterangan sebelum dibebaskan atas jaminan polis pada pukul 2 pagi.
“Saya tidak faham mengapa polis perlu memilih tindakan yang begitu dramatik hanya untuk merakamkan kenyataan saya,” dakwanya.

