BERHUBUNG kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,  MCA mengambil langkah untuk fokus dalam isu kenaikan harga dan bukan isu lain seperti perkauman.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, parti itu tetap dengan pendirian menentang tindakan peniaga yang menaikkan harga sewenang-wenang, memetik laporan Mstar Online.
Menurut beliau masalah yang dihadapi pengguna ialah harga barang yang tinggi, oleh itu MCA akan memberi tumpuan untuk menangani isu itu.
BACA JUGA – Ismail Sabri : Saya Tak Tuju Kepada Semua Peniaga Cina
“Kita perlu lihat isu dengan lebih jelas, tepat dan fokus.
“Jangan jadikannya sebagai isu perkauman, bila kita kaitkan isu kenaikan harga barang dengan kaum, ia akan jadi isu perkauman…ini tak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Pasarnita di Pasar Seni di ibu negara, pada Jumaat.
Liow berkata parti pimpinannya sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membanteras perbuatan peniaga yang menaikkan harga sesuka hari.
“Kita boleh bekerjasama dengan pihak peniaga dan mereka juga boleh tampil membantu menyahut seruan kerajaan untuk tangani isu ini,” katanya.
Mengulas desakan Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon untuk Ismail Sabri meletak jawatan dan dikenakan tindakan kerana kenyataan itu didakwa rasis, Liow berkata tiada sebab untuk itu kerana beliau hanya membangkitkan isu.
Menurut Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong, kabinet telah berbincang mengenai perkara itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat keputusan dan ia perlu dihormati.
“Tapi bila ada di peringkat akar umbi dan masyarakat masyarakat umum suarakan pandangan mereka, saya rasa isu ini kita perlu tangani melalui cara terbaik.
“Ismai Sabri juga perlu memahami ini sebagai satu isu yang sangat dekat dengan hati masyarakat di negara kita, beliau perlu tahu apa yang patut dilakukannya,” katanya.
– MYNEWSHUB.CC
Kenyataan Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao AKS Isu Kenaikan Harga
http://youtu.be/9HZPcrWBstg

