SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 9 Mac ini untuk mendengar saman sivil terhadap polis dan kerajaan yang dikemukakan oleh keluarga seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, yang ditembak mati oleh seorang anggota polis, hampir lima tahun lepas.
Peguam N. Surendran, yang mewakili keluarga itu, berkata tarikh itu ditetapkan ketika kes itu didengar di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim hari ini.
“Perbicaraan kes ini akan berlangsung bermula 9 Mac depan sekiranya tiada sebarang penyelesaian dicapai antara pihak plaintif dan defendan untuk kes ini di luar mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik selesai prosiding kes.
Katanya penangguhan kes memberi peluang kepada kerajaan  untuk meneliti terma-terma penyelesaian luar mahkamah yang  dicadangkan oleh keluarga Aminulrasyid.
Plaintif sebelum ini mendakwa kematian Aminulrasyid berpunca daripada kecuaian Koperal Jenain Subi.
Keluarga itu mendakwa polis tidak mempunyai alasan wajar  untuk menembak pelajar berusia 15 tahun itu ketika mengejarnya  pada awal pagi 26 April 2010.
Pada November 2013, Mahkamah Rayuan mengekalkan  keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Jenain daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid.
Ketika membebaskan Jenain pada 2012, Mahkamah Tinggi  memutuskan bahawa Jenain tidak berniat menyebabkan kematian Aminulrasyid, tetapi menembak kereta yang dipandu remaja itu  dengan tujuan menghentikannya. – BERNAMA

