KUALA TERENGGANU – Bekas penolong jurulatih kelab NK Osijek dari Croatia, Ivica Vranjes telah dilantik sebagai penolong jurulatih T-Team bagi menghadapi Liga Perdana musim ini.
Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata kehadiran Vranjes diharap dapat memantapkan lagi prestasi pasukan T-Team yang dibimbing jurulatih semasa T-Team, Tomislav Steinbruckner yang pernah berkhidmat di kelab yang sama.
Vranjes yang pernah bertugas di bawah Steinbruckner semasa di Croatia telahpun memulakan tugasnya pada 5 Jan lepas.
Dalam perkembangan lain beliau berkata T-Team akan mencari seorang lagi pemain import bagi melengkapkan kuota empat pemain import pada musim ini sebagaimana pasukan-pasukan lain.
Katanya untuk pendaftaran peringkat pertama ini T-Team mendaftar tiga pemain import iaitu David Faramola Oniya dari Nigeria, Sadriddin Abdullaev dan Farhod Tadjiyev kedua-duanya dari Uzbekistan. – BERNAMA