IPOH – Seorang penarik kereta dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar methamphetamine seberat 96.1 gram, empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin memutuskan S. Marimuthu, 30, bersalah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan kes melampaui keraguan munasabah.
Marimuthu didakwa mengedar dadah itu di bahagian luar kaki lima, Restoran Karisma, Jalan PBC 1, Jalan Simpang Pulai, dekat sini pada 11.45 malam, 23 Ogos 2011.
Noorin dalam keputusannya berkata beliau mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan keterangan pembelaan adalah sesuatu yang ditimbulkan dan direka sendiri oleh Marimuthu.
“Cerita pembelaan tertuduh, bahawa dia datang bersama seorang lelaki bernama ‘Maya’ yang membawa beg berisi dadah dan Maya meninggalkan beg itu di atas meja kemudian beredar ke tandas meninggalkan beg tersebut bersama Marimuthu adalah seperti rekaannya sendiri.
“Persoalannya sekarang adakah Maya, seperti yang diceritakan tertuduh itu wujud ataupun tidak,” katanya.
Noorin juga mendapati keterangan saksi-saksi tertuduh iaitu pekerja restoran tersebut tidak kredibel.
Enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula 2 Mac 2012.
Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak berusia empat dan enam tahun didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2), akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu. – BERNAMA

