KUANTAN – Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) hari ini menyampaikan bantuan alat tulis kepada 28,699 pelajar di Pahang yang terjejas banjir baru-baru ini.
Sumbangan disampaikan isteri perdana menteri yang juga Yang DiPertua PPPM Datin Seri Rosmah Mansor di Sekolah Kebangsaan Jaya Gading, di sini.
Rosmah juga menyampaikan bantuan kepada warga pendidik dan kakitangan sokongan sekolah seluruh Pahang sebanyak 3,600 orang yang ada dalam kalangan mereka merupakan mangsa banjir serta yang bertungkus-lumus membantu pelajar dan sekolah terlibat dengan bencana itu.
“Untuk murid sekolah rendah, kita beri set alat tulis dan buku latihan manakala bagi pelajar sekolah menengah, kita beri alat tulis, set geometri dan buku latihan.
“Pendidik serta kakitangan sokongan lelaki pula diberi dua helai kain pelikat dan dua baju-T manakala dua helai kain batik serta dua pasang kain ela kepada guru dan kakitangan wanita,” katanya.
Rosmah berkata kesemua sumbangan tersebut melibatkan kos sebanyak RM524,400 yang diharapkan dapat meringankan beban pelajar serta warga sekolah yang terlibat dengan bencana itu.
Selain Pahang, beliau berkata PPPM akan melaksanakan misi yang sama di Kelantan, Terengganu dan Perak.
“Setakat ini PPPM telah menyampaikan bantuan berjumlah RM7 juta di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak, hasil sumbangan yang diperoleh PPPM daripada badan korporat dan individu,” katanya.
Terdahulu, Rosmah diberi taklimat oleh Pengarah Pendidikan Pahang Rosdi Ismail mengenai sekolah-sekolah di negeri berkenaan yang dilanda banjir, di Jabatan Pendidikan Pahang di Indera Mahkota, di sini.
Rosdi berkata sebanyak 98 buah sekolah di Pahang dinaiki air dan jumlah kerosakan dianggarkan berjumlah RM23.3 juta. – BERNAMA

