BELUM pun selesai isu pelaksanaan hukuman Hudud di Kelantan, kini DAP dan PAS yang bernaung dalam Pakatan Rakyat (PR) bercakar lagi perihal isu lain.
Puncanya, PAS mendakwa DAP ‘cakap tak serupa bikin’ apabila merancang melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan walaupun idea tersebut tidak mendapat persetujuan daripada rakan dalam pakatan.
[BACA INI JUGA: PAS Sambut Baik Kerjasama Kerajaan Kelantan Dengan Kerajaan Pusat]
Maka, bermulalah peperangan antara kedua-duanya di media sosial.
Melalui portal The Malaysian Insider, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke dilaporkan berkata, idea tersebut tidak boleh disamakan dengan isu Hudud.
“Hudud bukan perkara dasar bersama PR, ia berbeza,” Anthony dipetik berkata menerusi laporan portal terbabit, 18 Januari lalu.
Dua hari kemudian Mustafa Ali membidas kenyataan Anthony dengan berkata perbandingan tersebut rasional kerana kedua-duanya tidak termasuk dalam polisi bersama pakatan.
“Dalam kes hudud yang tidak termasuk dalam polisi bersama, DAP mati-matian kata ia tidak boleh dilaksanakan tetapi dalam kes kerajaan tempatan yang juga tidak termasuk dalam polisi bersama, ia diteruskan kerajaan Pulau Pinang. Ini yang jadi persoalan,” ujarnya.
Dalam pada itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini turut menyatakan pandangannya berkenaan perancangan DAP untuk melaksanakan pilihan raya tersebut di Pulau Pinang.
Melalui lidah rasmi PAS, Harakah Daily Hadi berkata, pilihan raya tersebut bakal menimbulkan isu perkauman kerana ia hanya tertumpu kepada penduduk bandar sahaja.
Selain itu, ia juga dibimbangi bakal menimbulkan jurang dan pertembungan antara kaum seterusnya menimbulkan ketegangan dengan penduduk bandar yang dimonopoli oleh kaum Cina.
“Pilihan Raya Majlis Perbandaran yang diperjuangkan DAP adalah kesilapan kerana hanya melihat aspek penduduk bandar sahaja untuk menang pilihan raya dalam jangka masa sangat pendek.
“Apatah lagi apabila kita melihatnya dari aspek perkauman yang boleh mencetuskan jurang dan polarisasi serta ketegangan antara penduduk bandar yang bermajoriti kaum Cina sangat besar.
“Lihat sajalah jurang pendapatan RM250 juta setahun di sebuah majlis perbandaran di Selangor berbanding RM50 juta di majlis daerah di kawasan desa di Selangor yang bermajoriti satu kaum yang lain,” ujar Hadi.
Hadi menambah, DAP tidak seharusnya melihat kemenangan politik dan penguasaan ekonomi untuk satu pihak sahaja dalam masyarakat majmuk.
Ini kerana, tindakan tersebut bakal menimbulkan ketidakpuasan hati kaum lain yang turut menetap dan menyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang.
“Kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh menjadi cetusan ke arah ketidakstabilan, melebarkan jurang masyarakat desa dan bandar, dan yang paling menakutkan ketegangan seperti ini boleh menjadi ‘api dalam sekam’ untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara,” katanya lagi.
Lepas satu isu, timbul pula satu lagi. Semacam makin jelas, hubungan antara PAS dan DAP tidak dapat diselamatkan lagi.
Kita tunggu sahaja apa bakal dibalas oleh pihak DAP yang dahulunya ‘tidur sebantal dan makan sepinggan’ dengan PAS lepas ini. -MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
PAS Reda Walaupun Tanpa DAP & PKR



