HULU TERENGGANU – Seorang ibu muda merayu agar Institut Jantung Negara (IJN) mempercepatkan pembedahan anaknya, Wan Hanif Hasyraf Wan Mohd Firdaus yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.
Nurul Hidayah Juhari, 25, berkata bayinya yang berusia enam bulan itu dijadual dibedah pada 14 Jan lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan ada kes kecemasan lain yang perlu didahulukan.
“Sehingga kini, tarikh pembedahan yang baharu belum ditetapkan lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh, Kuala Berang di sini hari ini.
Nurul Hidayah berkata bayinya kini terpaksa bergantung kepada mesin bantuan pernafasan sepanjang masa, justeru, pergerakannya agak terbatas tidak seperti bayi normal lain.
“Saya sangat berharap agar pembedahan anak saya dipercepatkan, ibu mana yang tahan tengok anak 24 jam terpaksa pakai tiub di hidung, anak saya pun sekarang tak dapat nak membesar macam bayi lain sebab pergerakannya terbatas, tak boleh meniarap macam bayi lain sebab bimbang tiub tercabut,” katanya.
Kakitangan awam yang kini bercuti tanpa gaji selama tiga bulan itu bertambah risau melihat keadaan anaknya apabila lubang yang terbentuk pada jantung bayi itu semakin membesar.
“Pada Ogos lepas, saya bawa anak ke IJN dan pakar memberitahu saya lubangnya hanya bersaiz 0.8 cm, bila pemeriksaan kali kedua November lalu, lubangnya semakin membesar sehingga mencecah 1 cm dan ini sangat merisaukan saya,” katanya.
Beliau berkata sebelum ibunya, Sakinah Sulong, 55, membeli dua buah mesin bantuan pernafasan bernilai hampir RM7,000 pada Disember lepas, bayinya itu terpaksa ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan beliau berulang-alik setiap hari menggunakan bas dari Kuala Berang ke hospital berkenaan.
“Di rumah, suami saya, Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Sulaiman, 26, yang berniaga pisang goreng buatkan bilik khas untuk Wan Hanif Hasyraf bagi membolehkan pengudaraan yang baik untuknya.
“Kalau hendak buat pemeriksaan ke HSNZ atau klinik, kami terpaksa bawa balang oksigen bersama untuk pernafasannya,” katanya menambah petugas Klinik Kesihatan Bandar Kuala Berang turut membuat pemeriksaan ke atas bayinya setiap minggu di rumahnya. – BERNAMA