ATAS dasar keprihatinan ekoran bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia, kerajaan China turut bersimpati dengan membantu menghulurkan bantuan berbentuk khemah, pam air, penapis air, dan generator kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bantuan banjir ini diserah oleh Duta Besar China Ke Malaysia, Dr Huang Huikang sebentar tadi dalam satu majlis penyerahan di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Perdana Menteri bagi pihak kerajaan Malaysia berkata amat menghargai keprihatinan negara tersebut dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
“Kerajaan China menyumbangkan sebanyak 2,950 khemah selain 220 generator, 400 pam air dan hos air serta 60 mesin penyulingan air.
“Peralatan dan kelengkapan ini adalah untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir yang kehilangan rumah termasuk di Manek Urai, kem-kem PLKN dan Kem Wataniah,” kata Najib pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan.
Memetik laporan Harian Metro, semua peralatan ini akan diagihkan secepat mungkin mengikut keperluan dan permintaan daripada Pegawai dan anggota Kementerian Pertahanan yang ditugaskan di lapangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.
Tambah Najib, sumbangan ini dapat menonjolkan hubungan erat antara kedua negara bukan sahaja daripada aspek ekonomi, ketenteraan dan pendidikan tetapi juga hubungan diplomatik antara kepimpinan serta rakyat yang kukuh. – MYNEWSHUB.CC
VIDEO SITUASI BANJIR YANG BERLAKU
https://www.youtube.com/watch?v=q1CdcMd4HGo


