KUALA LUMPUR – Seramai 729 warga asing ditahan dari 1 November 2013 sehingga 31 Disember 2014 kerana berkhidmat sebagai pengawal keselamatan secara tidak sah di negara ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Alwi Ibrahim berkata, mereka ditahan melalui operasi bersepadu yang disertai pihak polis, imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Statistik tangkapan di seluruh negara melalui 196 operasi bersepadu yang dijalankan bermula pada 1 November 2013 sehingga 31 Disember 2014 adalah seramai 729 orang.
“Bagi tahun 2015, KDN berjaya melaksanakan tujuh operasi bersepadu bermula 13 Januari 2015 di mana seramai 18 pengawal keselamatan warga asing haram telah ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Alwi turut memaklumkan, sejak tahun 2010, KDN menggantung dan membatalkan lesen 45 buah syarikat kawalan keselamatan termasuk membatalkan lesen 23 syarikat tahun lalu kerana menggunakan pengawal keselamatan warga asing secara haram.
Sehubungan itu, katanya, KDN menyeru masyarakat terutama persatuan penduduk dan badan pengurusan perumahan memastikan hanya syarikat kawalan keselamatan berlesen sahaja dibenarkan memberikan perkhidmatan kawalan keselamatan di kawasan mereka.
Mereka juga diminta memastikan syarikat kawalan keselamatan yang diupah menggunakan pengawal keselamatan tempatan atau warga Nepal yang dibenarkan dan lulus tapisan keselamatan oleh KDN dan pihak polis.
“KDN akan terus melipatgandakan operasi penguatkuasaan dan usaha-usaha untuk membanteras penggunaan pengawal warga asing secara haram.
“Masyarakat digalakkan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada KDN secara bertulis atau dengan mengemukakan aduan melalui laman web KDN sekiranya mengetahui atau melihat warga asing haram yang bekerja sebagai pengawal keselamatan,” katanya. – mynewshub.cc

