KOTA KINABALU – Dua lagi Klinik 1Malaysia dibuka, menjadikan keseluruhannya sembilan buah klinik beroperasi di bandar ini, kata Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Mohammad Saffree Jeffree.
Beliau berkata dua buah klinik itu, yang beroperasi sepenuhnya pada awal Disember lepas, ditempatkan di Polytechnic Commercial Centre (PCC), Sepanggar dan Taman Canggih, Inanam.
“Tujuh Klinik 1Malaysia lain yang telah lama beroperasi adalah di Kepayan, Tanjung Aru Plaza, Kampung Likas, Darau, Sulaman Sentral, Taman Putera Jaya dan Pusat Transformasi Bandar (UTC),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Mohammad Saffree berkata dengan pembukaan Klinik 1Malaysia di kawasan itu, akan memberi manfaat perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat setempat, selain mengurangkan kesesakan kehadiran pesakit di Klinik 1Malaysia yang lain.
Beliau berkata penubuhan Klinik 1Malaysia itu juga, diharap mampu mengurangkan beban kerja di klinik-klinik kerajaan sedia ada, sekaligus mengurangkan masa menunggu pesakit.
Waktu perkhidmatan bagi klinik berkenaan adalah pada setiap hari mulai 9 pagi hingga 9 malam termasuk cuti umum (tertakluk kepada pengumuman) dan cuti hujung minggu, dengan caj hanya RM1 dikenakan kepada pesakit. – BERNAMA