Susulan insiden memalukan Malaysia selaku tuan rumah pada perlawanan separuh akhir pertama, Piala AFF Suzuki 2014 di Shah Alam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meluahkan kekecewaannya.
Melalui laman Facebook rasminya beliau berkata, sikap dan tindakan penyokong Malaysia dalam insiden kekecohan adalah lebih mengecewakan daripada kekalahan yang dialami skuad Harimau Malaya ke atas Vietnam, 2-1.
Mana tidaknya, beliau turut menyaksikan huru-hara tersebut yang ditimbulkan segelintir penyokong yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.
“Tiada alasan bagi tindakan ganas tersebut. Lebih-lebih lagi terhadap tetamu dalam negara kita. Apakah ini cara kita layan tetamu? Tak kiralah mereka datang melancong ke memang dah kerja sini ke, ini bukan budaya Malaysia.”
Tambah beliau lagi, tindakan ganas tersebut akan merisikokan keselamatan para penyokong Malaysia yang bakal menyaksikan perlawanan ‘timbal balik’ di sana selepas ini.
“Bukankah tindakan mereka ini boleh dianggap sebagai satu provokasi dan mengundang risiko keselamatan terhadap penyokong-penyokong Malaysia di Hanoi nanti?”
Bagi meredakan ketegangan antara dua pihak, KJ turut menulis permohonan maaf dalam muat naik status itu dan mengingatkan peminat bola sepak Malaysia mahupun Vietnam bahawa tindakan merusuh dan mencederakan penyokong skuad Vietnam tidak mewakili rakyat Malaysia yang sebenar.
Dalam pada itu, melalui laman mikro Twitter peribadinya pula, KJ mengingatkan penyokong skuad Harimau Malaya untuk terus memberi sokongan walaupun Malaysia tewas pada perlawanan pertama.
‘Makan dalam’ juga tweet KJ kan?
Apa-apa pun, semangat kesukanan yang dipamerkan segelintir penyokong Malaysia semalam perlu diubah kerana ia memberi tanggapan buruk buat Malaysia secara keseluruhan.
Ada juga segelintir peminat membuat andaian bahawa insiden tersebut merupakan ‘balasan’ buat Malaysia yang mengejek Singapura ketika kemenangan lalu. Nah, kali ini kita pula menerima nasib sama!
Buat pasukan Harimau Malaya, selamat berjuang. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
INI PULA VIDEO PEMAIN SINGAPURA MEROYAN LEPAS KALAH…