Sebuah rumah kecil yang terletak di Machang Bubuk, Bukit Mertajam disyaki dijadikan lokasi pembunuhan dan aktiviti memotong tubuh mangsa warga Myanmar sebelum dibuang di beberapa lokasi berasingan.
Memetik sumber MStar, sepasukan anggota polis telah melakukan serbuan ke kediaman berkenaan di Kampung Pisang. Walaupun telah dicat dan dicuci, namun kondisi di bahagian dalam masih terdapat darah.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi, dua pembunuhan terakhir dipercayai telah berlaku di rumah berkenaan.
Suspek dalam kejadian tersebut menyewa di kediaman lain yang berada tidak jauh dari lokasi berkenaan. Mereka tinggal di situ, dan membawa mangsa ke lokasi untuk dibunuh dan dikerat.
Ujarnya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian, “Polis telah menemui tiga bilah parang panjang dipercayai senjata yang digunakan oleh suspek.”
Abdul Rahim juga berkata, rumah tersebut disewa suspek sejak empat bulan lalu, namun dia telah memulangkan kunci kepada pemilik rumah sebelum ditahan.
Setakat ini, sejumlah 17 suspek ditahan berikutan kes pembunuhan warga Myanmar yang disyaki bermotifkan dendam.
15 warga Myanmar berumur lingkungan 20-an sehingga 40-an termasuk dalang, ditahan sejak dua minggu lalu disyaki terlibat dengan kejadian bunuh rakan senegara.
Ujarnya, penahanan kesemua suspek dipercayai mampu menyelesaikan kes tersebut yang membabitkan kematian 18 warga asing.
Polis juga telah menemui sebuah kenderaan yang disyaki digunakan suspek untuk memindahkan anggota badan mangsa untuk dicampak di beberapa kawasan.
Menurut statistik, sebanyak 51 kes bunuh dilaporkan di Pulau Pinang tahun ini, membabitkan 18 mangsa yang merupakan warganegara Malaysia manakala selebihnya rakyat asing. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=k2yjxZWubrM
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR


