KUALA LUMPUR – Semenjak banjir teruk melanda beberapa negeri sepanjang minggu ini, media sosial dilimpahi pelbagai informasi, gambar dan visual banjir yang kebanyakannya tertumpu di Pantai Timur semenanjung dengan tema ‘Pray For Pantai Timur’ (doa untuk Pantai Timur).
Selain penggunaan hashtag #PrayForPantaiTimur, hashtag #Banjir, #Banjir2014, #PrayForKelantan, #PrayForTerengganu, dan @banjir menjadi tumpuan pengguna Internet dalam berkongsi maklumat di laman sosial Instagram, Facebook dan Twitter.
Media sosial Whatsapp juga menjadi pusat penyebaran maklumat terkini mengenai banjir termasuk maklumat jalan ditutup, keadaan semasa banjir, laluan yang selamat, kejadian tanah runtuh dan pelbagai maklumat mengenai banjir kepada pengguna Internet.
Pada 14 Okt lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilapor memaklumkan negara mempunyai 19.2 juta pengguna Internet.
Keadaan banjir hari ini dilaporkan bertambah serius menyebabkan lebih 60,000 penduduk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan Sabah terpaksa berpindah.
Untuk perkongsian maklumat terkini, pengguna Internet boleh mendapatkan perkembangan terkini melalui Twitter, Facebook dan Instagram dengan menekan hashtag #infobanjir, #MetMalaysia, #infocuaca@ibanjir dan @banjirJKM.
Pengguna juga boleh melayari laman web agensi kerajaan dan kerajaan negeri untuk mendapatkan status terkini banjir seperti portalbencana.mkn.gov.my; dan http://bencanaalam.jkr.gov.my/.
Portal kerajaan negeri yang terlibat dengan banjir ialah ebanjir.kelantan.gov.my; dan etindakan.terengganu.gov.my.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memberi maklumat mengenai perkembangan banjir dan operasi membantu mangsa banjir di negeri-negeri terlibat di laman Twitternya @PDRMsia dan Facebook di INFO BANJIR 2014.
PDRM turut menyiarkan nombor telefon bilik gerakan banjir bagi negeri-negeri terlibat antaranya Pahang (09-5134626), Kelantan (09-7471608), Terengganu (09-6354743) dan Perak (05-2451119). – BERNAMA