Sunday, December 8, 2024

Creating liberating content

UMNO Dakwa Fasa Pemansuhan...

UMNO membantah rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) merombak core-business Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui...

Ibu Tunggal Tunai Impian...

NIBONG TEBAL - Walaupun permohonan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM)...

VIDEO: Atuk Jadi Hero,...

SEORANG atuk yang berusia 62 tahun dengan beraninya telah bertindak menjadi hero untuk...

Tanah Runtuh: Mayat Ibu,...

HULU SELANGOR – Dua mayat mangsa ke-17 dan 18 kes tanah runtuh di...

Penduduk Padang Terap Bimbang Banjir Kali Kedua

KUALA NERANG – Keadaan banjir di daerah Padang Terap semakin pulih, namun penduduk di empat buah kampung tetap merasa bimbang rumah mereka akan ditenggelami banjir buat kali kedua sekiranya hujan lebat berlaku dalam masa terdekat.

Penduduk di Felda Lubuk Merbau, Kampung Dusun, Kampung Baru Tapang dan Tanjung Piring, Mukin Tekai melahirkan rasa bimbang kerana rumah mereka ditenggelami banjir sejak Rabu lepas, selepas air di Empangan Muda yang terletak berhampiran kampung mereka melimpah berikutan hujan lebat.

Cuaca baik hari ini membolehkan air surut dan penduduk yang dipindahkan sudah ramai yang kembali ke rumah masing-masing, tetapi mereka tetap merasa bimbang.

Almazani Abdul Halim, 43, dari Kampung Dusun berkata ini banjir kali keempat selepas tahun 1988, 2007, 2008 yang dipercayai berpunca daripada limpahan air empangan.

Namun dia berkata, dia dan keluarganya sudah bersedia kemungkinan berlaku banjir kali kedua sekiranya hujan lebat berlaku lgi.

“Kalau air dah mula naik, saya sekeluarga akan segera pindah. Kita tak tahu banyak mana air akan datang dan kita ambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Zainuddin Hasan, 43, dari Felda Lubuk Merbau berkata dia bimbang sekiranya Sungai Muda berhampiran rumahnya melimpah, kerana ia boleh mengakibatkan banjir turut melimpah ke rumahnya.

“Seperti sebelum ini, rumah saya tenggelam keseluruhan dan habis barang dalam rumah rosak. Saya terpaksa tanggung kerugian yang tinggi. Sekarang saya dah ambil langkah berjaga-jaga dan segera pindah kalau berlaku banjir,” katanya.

Dia yang bekerja sendiri berkata dia sekeluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kira-kira pukul 3.30 pagi semalam selepas rumahnya dinaiki air kira-kira dua meter.


Katanya air sungai berhampiran rumahnya melimpah kira-kira pukul 7.30 malam Rabu lepas dan memasuki rumahnya kira-kira pukul 10 malam.

Hamiyah Khamis, 48, dari Felda Lubuk Merbau berkata dia terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas gagal menyelamat barangannya.

Pengurus Felda Lubuk Merbau, Yaakob Hashim yang juga Pengerusi Jawtankuasa Banjir Felda Lubuk Merbau dan kampung sekitar berkata pihaknya akan memantau keadaan banjir di beberapa kampung terlibat sekiranya berlaku gelombang kedua banjir.

Katanya tindakan memindahkan mangsa banjir dengan segera akan dilakukan ke pusat pemindahan serta memastikan bekalan makanan dan minuman cukup untuk mereka.

Banjir sejak 10 malam Rabu lepas menyebabkan 56 orang mangsa dari Felda Lubuk Merbau, 31 dari Kampung Dusun dan lima dari Kampung Baru Tapang dipindahkan secara berperingkat mulai pukul 3.30 pagi pada Khamis.

Mereka ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Petunas, Felda Lubuk Merbau sementara di Kampung Tanjung Piring, 41 mangsa ditempatkan di Dewan Orang ramai Kampung Tanjung Piring.

Sebahagian besar mangsa telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini selepas air mulai surut dan kini hanya tinggal 14 mangsa daripada tiga keluarga yang masih ditempatkan di Dewan Petunas Felda Lubuk Merbau manakala pusat pemindahan di Kampung Tanjung Piring telah ditutup. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori