Seperti mana yang dijanjikan beliau dalam Taklimat Tertutup Presiden UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2014 bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Keahlian Dalam Talian UMNO.
Majlis dilangsungkan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.
Menurut Najib yang juga Presiden UMNO, pendaftaran keahlian UMNO secara online adalah antara sebahagian usaha mentransformasikan parti itu bagi membolehkan UMNO dilihat terus relevan sepanjang zaman.
MENARIK – Daftar Jadi Ahli UMNO Kini Boleh Dibuat Secara Online
Pelancaran sistem itu secara online dapat menyelesaikan kerumitan dalam urusan pendaftaran dan memudahkan generasi muda menjadi anggota parti.
“Ini juga selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Jadi anak-anak kita yang belajar di luar negara, mereka lepas ini juga boleh mendaftar dengan mudah sebagai ahli Umno, terus ada nombor ahli Umno,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan serta Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badrudin Amiruldin.
Sebelum ini, mereka yang berminat menjadi ahli UMNO perlu mengisi borang dan menyerahkannya kepada Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian untuk kelulusan sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat UMNO untuk pengesahan keahlian.
Prosedur sedia ada, boleh memakan masa berbulan-bulan sebelum seseorang itu diterima menjadi ahli UMNO.
Ia juga bagi mengelakkan kes borang pendaftaran individu tidak sampai ke Ibu Pejabat UMNO seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini.
Dengan sistem online, borang yang sudah diisi akan terus sampai ke Ibu Pejabat UMNO secara online sekaligus memastikan pendaftaran dibuat lebih telus. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K
Video Sokongan Pendaftaran Ahli Secara Online
 http://youtu.be/w67K_qPEQlo

