DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat dua pusat pemindahan banjir di Terengganu yang teruk dilanda banjir dan menceriakan lebih 1,300 mangsa banjir.
Muhyiddin melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau dahulu sebelum ke SK Kampung Nyior.
Dalam lawatan itu, beliau diiringi Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pemangku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Roslina Ngah.
Sejurus helikopter mendarat di Padang Arena Merdeka, Dungun kira-kira 9.30 pagi, Muhyiddin dan rombongan menaiki kenderaan pacuan empat roda ke SK Durian Mentangau, kira-kira 10 kilometer dari lokasi itu.
Sepanjang perjalanan, beberapa anggota rombongan terpaksa menaiki bot penyelamat untuk sampai ke pusat pemindahan banjir berkenaan. Kira-kira 600 mangsa banjir ditempatkan di SK Durian Mentangau sejak seminggu lepas.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara meluangkan masa sejam di pusat itu. Beliau diberi taklimat mengenai perkembangan banjir oleh pegawai daerah Dungun Datuk Mohd Akil Mat.
Di pusat pemindahan banjir di SK Kampung Nyior, Muhyiddin beramah mesra dengan beberapa orang daripada 779 mangsa dari Kampung Pinang Merah dan Kampung Nyior yang ditempatkan di situ sejak 17 Dis lalu.
Setakat tengah hari ini, 21,738 orang masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan banjir di Terengganu. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=I8T04UoNb2g

