ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah akan mencari insiatif untuk melengkapkan kemudahan jalur lebar di semua sekolah bagi memastikan program ‘ezLearn2u’ dapat diakses semua pelajar.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata daripada 729 buah sekolah di seluruh Kedah, sebanyak 519 sekolah telah mempunyai kemudahan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 4 megabits.
“Dalam bajet (negeri) 2015, kerajaan memperuntukkan RM18 juta untuk bantu pelajar khusus dari tahun 4 hingga tingkatan 5 untuk mencapai prestasi pendidikan lebih tinggi, yang dapat menyumbang kepada usaha untuk menjadikan negeri ini lima teratas di kalangan negeri-negeri dalam bidang pendidikan.
“Ini bukan hanya satu retorik sahaja, sebaliknya kita ambil tindakan melalui perkhidmatan tuisyen untuk pelajar dan hari ini kita bincangkan mengenai persiapan untuk insiatif pendidikan negeri Kedah iaitu ‘ezLearn2u’ ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.
Beliau berkata namun usaha itu menghadapi kekangan sekiranya masalah akses jalur lebar di sekolah yang masih belum mempunyai perkhidmatannya tidak dapat diatasi segara.
Mukhriz berkata kerajaan negeri akan berurusan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan kerjasama dan mencari jalan untuk mengatasi masalah sekolah di pedalaman yang tidak mempunyai infrastruktur jalur lebar.
Beliau berkata walaupun ia merupakan cabaran bagi kerajaan negeri, namun pihaknya akan cuba memastikan setiap pelajar mendapat kemudahan berkenaan.
Katanya di Perak misalnya, program berkenaan telah dijalankan dan memberi kesan yang sangat baik kepada pelajar.
Program pembelajaran dalam talian atau tuisyen online atau ‘ezLearn2u’ menawarkan 80 subjek yang disediakan untuk semua sekolah rendah dan menengah di Kedah.
Ia adalah percuma dan dapat dimanfaat lebih kurang 370,000 pelajar. – BERNAMA

