Tiba-tiba, kisah kedinginan hubungan persahabatan antara pelakon yang juga pemilik butik House of Doll, Fazura dan heroin Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Sara Ali menjadi buah mulut ramai.
Mana taknya, dalam episod kedua program realiti ‘Facing Up To Fazura’ yang menampilkan sisi peribadi Fazura, aktres tersebut mendedahkan kerenggangan hubungannya dengan Sara Ali.
Rentetan dari pendedahan yang dibuat Fazura itu, Sara Ali yang selama ini cuba mengelak dari memberi sebarang kenyataan berhubung hubungan mereka, akhirnya tampil bersuara.
Memetik laporan dari Berita Harian, pelakon tersebut berkata, “Dia (Fazura) macam nak isytihar perang dengan saya dan pada masa yang sama nak nampak baik. Bagi saya apa yang dia cuba bangkitkan semula ini hal remeh. Apa-apa soalan berkaitan saya patut diajukan kepadanya. Itu lebih afdal.
Bagi saya kalau orang tanya hubungan kami okey atau tidak, jawapan saya tidak okey. Dan saya tak berhasrat nak okey balik dengannya. Saya tak pernah menyesal dengan apa yang dibuat atau dipilih. Begitu juga perkenalan dengannya yang pernah terjadi.”
Macam serius pula masalah yng dihadapi kedua-dua individu tersebut sampai Sara macam sudah tak sudi untuk berdamai dengan aktres Pisau Cukur itu.
Tambahnya lagi, sampai satu tahap, dia berasa menyampah dengan isu tersebut dan keputusannya untuk tidak terbabit dalam program tersebut merupakan haknya dan tidak perlu dipaksa.
“Dia yang besarkan isu ini dan apa saja terjadi antaranya dengan saluran berkenaan, tu masalah mereka. Memang asalnya saya setuju untuk berjumpa dengan dia tapi selepas dapat tahu ada perkara yang saya tak suka… maka saya ubah fikiran.
Bagi saya hanya kerana program ini, saya simpulkan publisiti baik atau buruk, saya terima. Saya tak rugi apa-apa. Tak fasal satu Malaysia kenal saya yang tak popular ini. Saya tak rasa malu pun, dia yang patut sedar. Lepas ini saya nak tutup isu ini dan tak perlu dipanjangkan.”
Sara, walau bagaimanapun menganggap pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang mematangkan diri dan lebih berminat untuk melihatnya dari sudut memori indah.
Walaupun ramai yang masih tidak tahu hujung pangkal berkenaan isu kedinginan hubungan kedua-dua pelakon tersebut, diharapkan agar mereka dapat menyelesaikannya secepat mungkin. – MYNEWSHUB.CC
15 Soalan Yang Diajukan Buat Fazura Oleh Program HLive


