Penyakit denggi tak mengenal sesiapa.
Buktinya pelakon terkenal Shaheizy Sam antara mangsa penyakit ini apabila terpaksa dikejarkan ke Hospital Pakar Ampang Puteri, 4 September lalu selepas mengalami demam teruk.

Ini kerana pembawa penyakit denggi, nyamuk Aedes tak mungkin dapat dikawal ke mana ia mahu terbang sambil membawa bersama virus bahaya berkenaan.
Justeru apa yang boleh dilakukan adalah mencegah Aedes daripada menggigit sekaligus menyebarkan penyakit ini kepada mangsanya.
Cara mencegah Aedes, boleh dikatakan sudah dimaklumi ramai rakyat Malaysia memandangkan usaha membanteras penyakit ini telah lama dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk menerusi iklan kesedaran di media cetak, elektronik mahu pun dunia maya.
Hasilnya banyak fakta berkaitan sudah masak di minda masyarakat, antaranya kawasan air bertakung adalah syurga buat Aedes melepaskan telur-telurnya bagi menyambung keturunan.
Menyedari bahaya gigitan nyamuk juga, sekurang-kurangnya satu tin racun aerosol biasanya pasti terdapat dalam simpanan tuan rumah di Malaysia.
Namun entah di mana silapnya, kes denggi terus mencatat peningkatan dan tahun ini Aedes benar-benar mengganas apabila kes dilaporkan meningkat hingga 212 peratus berbanding tahun sudah, setakat 18 Oktober lalu.
Bayangkan, itu baru setakat pertengahan Oktober sedangkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam pada awal bulan sama, baru sahaja mengeluarkan amaran kes denggi dikhuatiri meningkat menjelang hujung November disebabkan pertukaran cuaca dan musim hujan.
“Cuaca hujan dan kering yang bersilih ganti sesuai untuk nyamuk Aedes membiak dan berdasarkan pengalaman pada tahun-tahun sebelum ini, kes denggi berkemungkinan meningkat,†kata Dr S. Subramaniam pada sidang media.
Tup-Tup tak payah tunggu penghujung tahun di mana Aedes biasanya akan membiak lebih banyak musim ini, kes denggi sudah pun mencanak ke tahap menggusarkan!
Apa pun, mari kita kenali penyakit denggi lebih lanjut dan ketahui mengapa ia begitu menakutkan?
Denggi, akan menjangkiti manusia selepas Aedes betina yang jadi pembawa virus menusukkan mulut jarumnya ke kulit mangsa untuk menghirup darah. Nyamuk tersebut memperoleh virus denggi selepas menghisap darah pesakit denggi lain.
Terdapat dua jenis Aedes yang biasa membawa virus denggi iaitu Aedes aegypti dan Aedes Albopictus. Hanya tujuh hari diperlukan oleh nyamuk ini untuk bertukar daripada telur menjadi nyamuk dewasa.
Selepas menggigit pesakit denggi, nyamuk menjadi pembawa virus sepanjang hayatnya (purata kira-kira sebulan) jadi bayangkanlah, berapa ramai manusia yang terdedah untuk jadi mangsa dalam tempoh tersebut.

Apa yang bahaya tentang denggi, virus penyakit ini mempunyai tempoh inkubasi hinggakan mangsa hanya benar-benar merasai  simpton sakit selepas tiga hingga 14 hari digigit.
Antara simpton tersebut termasuklah demam mengejut dengan suhu tinggi, sakit kepala atau bahagian belakang mata, sakit sendi dan badan serta naik ruam.
Bila mencapai tahap bahaya penghidap denggi akan kerap muntah, sakit perut, pucat, rasa sejuk bila kulit disentuh, sesak nafas dan jika semakin kronik, tanda atau tompok merah pada kulit mulai muncul, berlaku pendarahan pada hidung dan gusi, muntah darah, najis berwarna hitam dan keluar haid atau pendarahan yang banyak dari faraj.

Kesengsaraan menghidap denggi sukar diluahkan dengan kata-kata, cukuplah ketahui bahawa nama panggilan lain bagi sakit ini adalah demam pecah tulang, merujuk pada sakit yang teruk dirasai di bahagian sendi dan otot.
Bagaimanapun harus diingat, denggi tidak boleh merebak secara langsung dari seorang individu ke individu lain.
Maka bagi mengelak diri sendiri mahupun individu sekitar dijangkiti denggi, tumpuan perlu dilakukan kepada usaha mencegahnya terutama melupuskan tempat yang boleh membuat Aedes membiak.
Meskipun sibuk seharian, semua urusan di dunia ini akan menjadi tidak berguna lagi saat kita terlantar sakit di katil hospital atau lebih malang jika kehilangan orang tersayang gara-gara denggi.
Apatah lagi, 10 minit dalam seminggu pun sudah cukup sebenarnya untuk mencari dan musnahkan tempat pembiakan Aedes di sekitar kawasan anda baik dalam rumah mahu pun di luar.
Kawasan yang memerlukan tumpuan khas dalam rumah adalah kolah air, dulang peti sejuk, pam tandas dan bekas jambangan bunga. Cara untuk menyahkan Aedes dari sini termasuklah gunakan ubat jentik-jentik, tutup bekas dengan rapat dan gunakan gel sebagai pengganti air.
Manakala bagi kawasan luar rumah, perkara yang perlu diperhatikan adalah bekas makanan polisterin yang dibuang merata-rata hingga mengumpul jentik-jentik, botol dan tin yang menakung air hujan, tayar terpakai, perabot rosak. pokok bunga berkelopak.. pendek kata apa sahaja objek yang boleh menakung air dan jadi tempat Aedes melepaskan telur-telurnya.
Selain itu, sentiasa ingat bahawa Aedes biasanya mengganas pada waktu pagi dan senja (6 pagi/malam hingga 8 pagi/malam), maka sewaktu tempoh ini elakkan berada di kawasan yang mendedahkan anda atau orang tersayang kepada gigitannya.
Bayangkan daripada puluhan nyamuk yang menghurung dan bakal menggigit  kala itu, salah seekornya mungkin boleh meragut nyawa dengan virus denggi yang sedang dibawa. – MYNEWSHUB.CC

