BUTTERWORTH – Tiga individu dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mereka mengaku bersalah, manakala seorang lagi minta dibicarakan, atas pertuduhan memiliki rokok putih pelbagai jenama dan rokok kretek yang merupakan barang larangan import.
Hasanamal Kachumeera, 47, didenda RM12,000 atau penjara enam bulan selepas dia mengaku memiliki 14,600 rokok putih pelbagai jenama dan 480 kretek Gudang Garam Surya 20 bernilai RM802 di premis perniagaan 903, Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya, pada 10.30 pagi, 25 Okt 2013.
Fizal Ezrie Ramli, 32, didenda RM3,500 atau penjara tiga bulan selepas mengaku memiliki 3,800 batang rokok putih dan 240 kretek Gudang Garam Surya 12 bernilai RM226 di Ezrie Maju Enterprise, Jalan Institut Pertanian Bumbung 5, pukul 11.30 pagi, 4 Dis 2013.
Selain itu, Zakaria Ismail, 61, pula didenda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku memiliki 2,600 batang rokok putih bernilai RM130 di premis D Syukur Enterprise, Taman Sungai Dua Utama, pukul 12.34 tengah hari, 25 Okt 2013.
Sementara itu, Saira Banu Abdul Kutus, 46, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki 4,200 batang rokok putih dan 200 kretek Gudang Garam Surya 20 bernilai RM238 di Mumim Trading, Jalan Butterworth, pukul 10 malam, 10 Dis 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Jan 2015 untuk sebutan semula.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kastam Diraja Malaysia Ismahani Md Ismail. – BERNAMA

