KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan menghantar laporan mengenai tindakan sudah dan bakal diambil kepada penjawat awam atau syarikat selepas syor laporan jawatankuasa PAC dibentangkan di Parlimen.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata tindakan berkenaan perlu dan penting untuk memastikan setiap syor dalam laporan PAC mendapat perhatian serius oleh kerajaan.
Ia sekali gus katanya akan mewujudkan budaya takut diaudit dalam kalangan kakitangan awam dan syarikat yang mendapat projek daripada kerajaan.
“Saya mengalu-alukan sesi taklimat diadakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berhubung tindakan diambil kerajaan hasil daripada pendedahan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) melalui jawatankuasa yang dibentuk dan dipengerusikan beliau sendiri.
“Bagaimanapun, ia juga boleh dilihat sebagai satu bentuk tindakan melindungi kakitangan awam kerana siasatan dilakukan oleh kakitangan awam itu sendiri dan ada kemungkinan wujud kepentingan konflik.
“Ia amat berbeza dengan apa yang dilakukan PAC sebagai sebuah jawatankuasa yang benar-benar bebas kerana dianggotai wakil rakyat daripada kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nur Jazlan berkata, PAC sebagai sebuah jawatankuasa di bawah bidang kuasa Parlimen perlu dilihat menjalankan fungsinya sebagai sebuah badan audit dalaman untuk kerajaan dalam memastikan wang rakyat benar-benar dibelanjakan secara berhemah dan bertanggungjawab oleh semua pihak.
Katanya, setiap syor yang dirumuskan dalam Laporan PAC dipersetujui semua ahli secara konsensus dan ia sudah melalui pelbagai prosedur yang ditetapkan sebelum dibentangkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Setiap kali PAC menjalankan prosiding berhubung isu yang dibangkitkan dalam LKAN, kita memanggil Pegawai Pengawal kementerian terbabit iaitu Ketua Setiausaha dan jika ia membabitkan pihak ketiga seperti syarikat, PAC juga memberi peluang kepada syarikat atau orang awam sendiri untuk datang memberikan keterangan kepada PAC,” katanya. – BH Online

