SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini memulangkan semula kitab Bible yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2 Jan lepas kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata kesemua 351 kitab Bible yang mengandungi kalimah ‘Allah’ itu diserahkan kepada Pengerusi Persatuan Gereja Sarawak (ACS), Datuk Bolly Lapok.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.
Ia turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohammad Adzib Mohd Isa, Pengerusi BSM, Lee Min Choon, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, dan Pengerusi Jais, Ahmad Zaharin Mohd Saad.
“Saya mengucapkan penghargaan tertinggi kepada Sultan Sultan atas pandangan jauh dan inisiatif baginda dalam mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” kata Mohamed Azmin dalam kenyataan di sini.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Selangor walaupun kebebasan beragama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bagaimanapun sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Adzib berkata pemulangan itu dibuat selepas Mais mengadakan rundingan dengan Majlis Dewan Diraja Selangor selain mengambil kira titah perintah Sultan Selangor.
Bagaimanapun, katanya, pemulangan kitab Bible itu dibuat dengan syarat bahawa kitab tersebut tidak boleh diedarkan di negeri Selangor dan hanya boleh digunakan oleh penganut agama Kristian di Sarawak sahaja.
Sebarang aktiviti pencetakan kitab Bible itu turut dilarang di negeri ini, katanya dalam kenyataan selepas majlis itu.
Jais sebelum ini menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas lebih 300 kitab Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah ‘Allah’ di dalam Bible.
Rampasan itu dibuat mengikut undang-undang di bawah Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. – BERNAMA
