KUANTAN – Polis Pahang menahan 18 suspek termasuk 13 lelaki Bangladesh dan seorang wanita dipercayai terlibat dengan sindiket curi kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai lebih RM200,000 dalam tiga serbuan berasingan di kawasan Jalan Jabor Lama dekat Cherating.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata tangkapan pertama dilakukan pada Ahad lepas terhadap seorang lelaki berusia 25 tahun yang didapati sedang memotong kabel di kawasan tersebut pada 2 petang.
Beliau berkata polis turut merampas seguni kabel dianggarkan seberat 10 kilogram (kg) bersama peralatan memotong kabel, antaranya gergaji dan parang.
“Suspek yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu turut mengaku telah mencuri kabel di kawasan tersebut melebihi 10 kali,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata susulan itu tangkapan kedua dibuat terhadap seorang pemilik sebuah premis jual beli barang lusuh, berusia 53 tahun, bersama seorang pekerjanya warga Bangladesh, berusia 39 tahun, pada 12.30 tengah hari, Rabu lepas.
Abdul Aziz berkata hasil pemeriksaan di bengkel tersebut polis menemui seguni besar muatan kabel yang dianggarkan seberat 300kg bersama buku jual beli, resit dan penimbang.
Katanya hasil soal siasat ke atas suspek, polis menahan 16 lagi suspek iaitu penyelia stor, 57; anak lelakinya, 25; adik perempuannya, 21; pemandu lori, 30; dan 12 lelaki warganegara Bangladesh di sebuah stor berhampiran premis berkenaan
pada 9.30 malam, hari yang sama.
“Semasa serbuan, mereka sedang memindahkan kabel yang dianggarkan melebihi 4,000kg bernilai kira-kira RM200,000 termasuk 24 bateri lori ke dalam sebuah lori dipercayai untuk dibawa ke Kuala Lumpur sebelum dijual,” katanya.
Beliau berkata semakan awal mendapati pemilik premis berkenaan memiliki rekod jenayah lampau dan kesemua suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

