PONTIAN – Persepsi bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan menaikkan kos kehidupan rakyat tidak tepat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.
Sebaliknya, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2015, 54 peratus daripada lebih 900 barangan akan turun harga selari dengan pelaksanaan GST itu.
“Sebelum ini, barangan berkenaan dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sebanyak 10 peratus. Dengan pelaksanaan GST, barangan berkenaan hanya dikenakan cukai sebanyak enam peratus saja,” katanya selepas Perasmian Majlis Pecah Tanah Surau Nur Hidayah Kampung Parit Betak Darat, di sini, hari ini.
Barangan keperluan harian tidak dikenakan GST, tetapi barangan bukan keperluan harian yang tidak dikenakan cukai sebelum ini, akan dikenakan GST.
Beliau diminta mengulas kaji selidik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menjangkakan kenaikan kecil gaji pekerja tahun depan iaitu 5.89 peratus bagi eksekutif manakala bukan eksekutif menerima 5.78 peratus.
Mengikut MEF, sebanyak 49.5 peratus syarikat yang terbabit dalam kaji selidik itu mahu menimbang pelaksanaan GST dalam unjuran kenaikan gaji tahun depan.
Sebanyak 48.4 peratus daripada syarikat turut mengambil kira GST sebelum membuat sebarang keputusan kenaikan gaji bukan eksekutif mereka bagi 2015.
Mengenai kenaikan gaji, Ahmad berkata menaikkan gaji adalah sesuatu yang bagus tetapi tindakan itu akan menimbulkan kesan sampingan.
“Para majikan sepatutnya memenuhi tuntutan gaji minimum RM900 di Semenanjung dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak terlebih dahulu dan kemudiannya memikirkan mengenai kenaikan gaji itu,” katanya sambil menambah kaji selidik itu perlu dibuat dengan lebih baik. – BERNAMA

