PELAKON veteran, Seniwati Mariani dilaporkan dimasukkan ke Pusat Perubatan Sentosa, Kuala Lumpur sejak tiga hari lalu selepas mengadu sakit di bahagian perut.
Memetik laporan Berita Harian, anak Mariani mengatakan doktor kini sedang melakukan pemeriksaan untuk mengenal pasti tahap kesihatan ibunya.
“Baru-baru ini dia selalu merungut sakit di bahagian perut. Kami belum diberitahu apa penyakit yang dihadapinya kerana pemeriksaan masih dilakukan. Saya ada dihubungi yang mengatakan ibu saya sedang menghidap penyakit kanser peringkat empat.
“Pelik juga kerana kami pihak keluarganya tidak tahu menahu hal ini sedangkan orang luar membuat kesimpulan lain. Saya cuma berharap pihak di luar sana mendoakan keselamatan beliau,” katanya.
Menurut anaknya lagi, Mariani kini berada dalam keadaan stabil dan sedang berehat di hospital.
Mariani atau nama sebenarnya Siti Mariam Ismail merupakan kakak kepada Allahyarham Saloma dan kini usia beliau sudah mencecah angka 81 tahun. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR

