KEJAM lagi mengerikan!
Itulah keadaan mayat seorang wanita yang ditemui di Taman Botani atau Taman Kebun Bunga Pulau Pinang di Georgetown, semalam.
Penemuan mayat dimaklumkan kepada Balai Polis Pulau Tikus kira-kira jam 11.20 pagi oleh orang awam yang terjumpa satu beg pakaian berwarna hitam di kawasan parkir hadapan surau Al-Aslah yang berbau busuk dengan sebelah tangan manusia terjulur di dalamnya.
Polis bersama pegawai dan anggota forensik segera dikejarkan ke tempat kejadian.
Hasil pemeriksaan Pakar Potologi Dato’ Bhupinder Singh mendapati di dalam beg terdapat satu mayat tidak sempurna di mana anggota badan yang tinggal hanya dari bahagian pusat hingga ke leher sahaja.
Turut terdapat dalam beg, dua belah tangan yang dipotong.
Dipercayai, mayat sudah terbiar lebih 24 hingga 36 jam sebelum ditemui.
Mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat. – MYNEWSHUB.MY

