Tiga keluarga mangsa banjir di Kampung Baru, Ringlet, Cameron Highlands kini dilanda kebimbangan ekoran sudah mula diarahkan untuk keluar dari pusat pemindahan sementara.
Laporan laman web Astro Awani memaklumkan, seramai 17 orang dari tiga buah keluarga difahamkan telah diberi tempoh sehingga lusa untuk keluar dari pusat berkenaan yang menjadi tempat berteduh selepas rumah mereka musnah akibat banjir lumpur.
Seorang penduduk tempatan, P Thilagawati berkata, mereka diarahkan untuk mengosongkan dewan sebelum Rabu ini dan tiada tempat pemindahan baru disediakan.
Pada kejadian kejadian banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands pada 5 November lepas, lima mangsa terbunuh dan lima lagi cedera.
Dalam kejadian itu lebih 20 buah rumah dan beberapa kenderaan dihanyutkan banjir lumpur yang berlaku di pekan Ringlet, Kampung Baru Ringlet dan Kampung Ulu Merah.
Pada 8 November lepas, mangsa banjir berkenaan yang ditempatkan di Pusat Pemindahaan Mangsa Bencana di Dewan Serbaguna Orang Ramai, Ringlet adalah berjumlah 91 orang daripada 28 buah keluarga.
Pada 10 November lepas, penduduk di sekitar kawasan Ringlet dan Lembah Bertam telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana keadaan cuaca yang cerah sejak semalam dan paras air Sungai Ringlet yang kembali normal. – MYNEWSHUB.CC

