KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa Singapura mengenakan sekatan ke atas penyokong Harimau Malaya yang mahu menyaksikan perlawanan Piala AFF-Suzuki di negara jiran itu pada Ahad lalu.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, tindakan kerajaan Singapura melarang penyokong pasukan kebangsaan dengan begitu teruk tidak boleh diterima.
“Saya telah menerima maklumat bahawa terdapat beberapa penyokong bola sepak tanah air yang ditahan di pusat pemeriksaan di Singapura sebelum perlawanan AFF-Suzuki di negara tersebut pada hari Ahad.
“Saya diberitahu bahawa penyokong-penyokong tersebut ditahan dan dilarang untuk memasuki Singapura semata-mata kerana mereka ingin menyaksi perlawanan bola sepak pasukan kebangsaan menentang Myanmar. Gambar notis larangan yang dikeluarkan oleh pihak Kastam dan Imigresen Singapura pun sudah tersebar luas di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Khairy Jamaluddin memaklumkan KBS telah menulis surat kepada pihak berkuasa di Singapura untuk mendapatkan penjelasan kenapa penyokong Malaysia diberi layanan yang begitu teruk sekali sehingga mereka tidak dibenarkan masuk ke Singapura untuk menyokong pasukan kebangsaan.
Walhal, kata beliau, penyokong Myanmar dapat membanjiri Stadium Jalan Besar di Singapura beserta kain rentang dan bendera gergasi negara mereka.
“Walaupun kami menghormati prosedur negara asing, tapi saya memang tidak puas hati dengan yang diberi kepada penyokong bola sepak Malaysia. Saya akan maklumkan pada semua apa jawapan yang diberi oleh pihak Singapura dan apa respons kita nanti,” katanya. – MYNEWSHUB.CC

