Setelah melalui ranjau perkahwinan yang perit sehingga kes penceraiannya dicanang di media, pengacara dan juruhebah, Jimmy Shanley, 34, kini bangkit semula dari ‘rebah’.
Buktinya, figura itu berjaya mengenggam segulung sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) yang diberikan sendiri oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-81, Ahad lalu.
“Kegagalan rumah tangga memang memeritkan namun ia mengajar saya untuk bangkit semula setelah mengalami kekecewaan dalam kehidupan,” ujarnya kepada portal Persatuan Alumni UiTM.
Katanya lagi, “Sebagai manusia biasa, saya tidak mahu terus melayan perasaan kecewa dan kegagalan rumah tangga menguatkan semangat saya untuk belajar dan terus belajar hingga saya mengambil keputusan meneruskan niat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana yang tergendala pada 2005.”
Dia yang merancang untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat Doktor Falsafah empat tahun lagi berkata, isterinya kini, Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, adalah inspirasi untuk meneruskan cita-cita dan kembali menjalani kehidupan normal.
Uniknya, sebelum Jimmy bertemu Mariam, dia terlebih dahulu mengenali ibu mertuanya, Prof. Dr Zuriah Abdul Rahman yang merupakan pensyarah di Arshad Ayub Business School UiTM. Malah, ibu mertuanya itu merupakan individu yang menemuduganya ketika sesi pemilihan sebelum layak menyambung pengajian.
“Sudah tertulis jodoh saya untuk berkahwin dengan anak penemuduga saya. Saya bersyukur mengecap dua kebahagiaan tahun ini iaitu bernikah dengan sekali lafaz isteri tercinta dan menggenggam kelulusan MBA di dalam konvokesyen hari ini.”
Tahniah diucapkan buat Jimmy Shanley atas kejayaannya mengenggam segulung Sarjana! – MYNEWSHUB.CC