KUALA LUMPUR – Empat anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan meminta rasuah sebagai dorongan untuk melepaskan seorang lelaki yang ditahan kerana kesalahan dadah.
Kesemua tertuduh iaitu Inspektor K. Ravindran, 33, Koperal Mahzan Hakim Mohamad Zain, 31, Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 30, dan Konstabel Jasli Jahirin, 24, bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Sentul.
Mengikut pertuduhan, Ravindran didakwa meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 daripada seorang peniaga Dhalgit Singh Mahinder Singh, 31, melalui panggilan ke telefon bimbit milik K. Manimaran sebagai dorongan untuk melepaskan Manimaran, yang ditangkap atas kesalahan menyimpan dadah.
Ravindran didakwa melakukan kesalahan itu antara 8.15 malam dan 10.15 malam pada 4 Jun 2013 di Kepong mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 (berdasarkan mana lebih tinggi), jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa bersama-sama tiga tertuduh lain iaitu Mahzan Hakim, Faizal Miza dan Jasli cuba memperoleh rasuah daripada individu sama di bahu jalan berhadapan Restoran McDonald’s Kepong antara 1.30 pagi dan 2 pagi pada 5 Jun 2013.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 (berdasarkan mana lebih tinggi), jika sabit kesalahan.
Hakim Allaudeen Ismail membenarkan Ravindran diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes manakala tertuduh lain RM10,000 dan menetapkan 11 Dis untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala peguam Geethan Ram Vincent mewakili kesemua tertuduh. – BERNAMA

