KUALA LUMPUR – Satu dasar, pendekatan dan strategi yang lebih berkesan untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum di negara ini perlu dilaksanakan segera.
Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendekatan itu perlu memberikan tumpuan dan keutamaan kepada program latihan peningkatan kemahiran pekerja bumiputera, memperbaiki mekanisme subsidi, menangani diskriminasi dalam sektor pekerjaan, memperkemaskan perundangan dan penguatkuasaan terhadap pekerja asing.
“Antara lain ia juga perlu mengutamakan memperkenalkan dasar mengenai peningkatan dan pengawalan pendapatan pekerja, menambah mekanisme percukaian yang lebih berstruktur (targeted), meningkatkan insentif bagi membantu keluarga menambah kekayaan dan menyediakan ekosistem kondusif kepada pelajar luar bandar dan miskin bandar.
BACA – PM Mahu Wanita UMNO Terus Perkasa Semangat Sejati PartiÂÂ
“Menekankan semula pembangunan luar bandar, memperluaskan jaringan keselamatan sosial, dan menyasarkan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (need-based) khusus untuk kumpulan isi rumah 40% terbawah tanpa mengira kaum,” kata Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.
“Saya mencadangkan Agenda Bumiputera serta dasar dan strategi merapatkan jurang ekonomi dijadikan teras utama Rancangan Malaysia Ke-11 yang merupakan lonjakan terakhir Malaysia untuk menjadi negara maju.
“Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional tidak boleh dilaksanakan secara picisan atau terpisah daripada kerangka besar ekonomi negara. Ia mesti dilaksanakan secara inklusif, komprehensif dan merentasi semua sektor ekonomi,” katanya.
Dalam ucapan beliau, Muhyiddin turut mendedahkan bahawa median pendapatan bulanan isi rumah Bumiputera sebanyak RM3,282 masih rendah berbanding kaum Cina iaitu RM4,643.
“Dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah, 75.5% adalah Bumiputera. Pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera juga masih jauh lebih rendah berbanding kaum-kaum lain.
“Hanya 36.3% transaksi bangunan hartanah kediaman melibatkan Bumiputera. Pemilikan hartanah bangunan industri dan perdagangan Bumiputera juga rendah iaitu 2.37% bagi hartanah industri dan 7.85% bagi hartanah perdagangan,” katanya.
Beliau berkata satu kajian yang dilakukan oleh Dr Lee Hwo Aun dan Dr Muhamed Abdul Khalid pada 2012 mendapati bahawa setiap seorang graduan Melayu yang dipanggil temu duga dalam sektor swasta, secara puratanya 5.3 graduan Cina ditemu duga, walaupun mereka mempunyai kelulusan yang sama.
“Data rasmi juga menunjukkan kadar pengangguran adalah tertinggi dalam kalangan tenaga kerja Bumiputera iaitu 70.3%, termasuk graduan menganggur sebanyak 66.9%.
“Pakar ekonomi Just Faaland, J.R Parkinson dan Rais Saniman membuktikan dalam buku mereka Growth and Ethnic Inequality: Malaysia’s New Economic Policy, bahawa pekerja Bumiputera menerima gaji 20 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding bukan Bumiputera,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan tiba di Dewan Merdeka di PWTC kira-kira pukul 9 malam disambut dengan alunan selawat oleh para perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO yang hadir menyaksikan majlis perasmian pada malam ini.
Lebih 5,000 orang perwakilan UMNO bermula hari ini berkumpul di PWTC bermula hari ini sehingga Sabtu depan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2014 kali ke-68. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K

