KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dipercayai hilang di Lautan Hindi sejak Mac lalu akan diteruskan.
Malah, kata beliau, usaha pencarian pesawat itu di dasar laut diperkasakan dengan penyertaan GO Phoenix yang menggunakan peralatan `ProSAS Side Scan Sonar’.
“`ProSAS Side Scan Sonar’ mempunyai keupayaan untuk mencari pada kedalaman 6,000 meter dasar laut dan 194 kilometer setiap hari. Peralatan GO Phoenix ini turut dilengkapi sonar multibeam untuk titik buta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, perkembangan usaha pencarian itu diharap dapat membawa semua pihak yang terlibat dalam operasi itu semakin hampir kepada kejayaan mengesan MH370.
MH370 iaitu Pesawat Boeing 777-200 dari Kuala Lumpur ke Beijing, China bersama 239 penumpang dan anak kapal itu hilang pada 8 Mac lalu kira-kira sejam selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Siasatan terakhir pihak yang terlibat dalam usaha pencarian MH370 mempercayai pesawat berkenaan hilang di Lautan Hindi.

