KUALA LUMPUR: Hari ini, genap 11 tahun pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Pada jam 1.09 pagi, 8 Mac 2014, ungkapan ‘Good night, Malaysian three-seven-zero,’ adalah mesej terakhir dari kokpit pesawat MH370 selepas ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.41 tengah malam.
Kehilangan MH370 kekal sebagai satu daripada misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden, membawa kesedihan yang berpanjangan kepada keluarga mangsa serta mencetuskan pelbagai teori dan usaha pencarian yang masih berterusan.
Dalam tempoh lebih satu dekad, dunia terus tertanya-tanya, mungkinkah misteri ini akhirnya akan terungkai?
Bagi keluarga 239 individu yang terbabit, mereka masih menanggung keperitan kehilangan insan tersayang sambil mengharapkan keajaiban yang mampu merungkai segala persoalan.
Meskipun 11 tahun sudah berlalu, Malaysia tetap komited dalam usaha mencari bukti dan jawapan bagi merungkai tragedi penerbangan paling buruk dalam sejarah negara.
Kementerian Pengangkutan (MOT), dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan komitmen kerajaan untuk meneruskan operasi pencarian MH370 berdasarkan petunjuk yang berwibawa, sekali gus memberikan jawapan yang amat diperlukan oleh keluarga mangsa.
Selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu, kerajaan bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity (United Kingdom) untuk memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
“Operasi ini akan dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, iaitu tiada sebarang pembayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemukan.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan usaha pencarian berasaskan petunjuk berwibawa demi menjejaki lokasi terakhir MH370, sekali gus memberikan jawapan kepada waris keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Ocean Infinity, sebuah syarikat robotik marin, telah melaksanakan usaha pencarian MH370 bermula Januari 2018, meliputi lebih 112,000 kilometer persegi dasar laut di selatan Lautan Hindi sebelum menamatkan misinya pada 29 Mei 2018.
Sementara itu, Voice370, dalam satu kenyataan hari ini, menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada semua pakar yang menyumbangkan masa dan kepakaran mereka tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri atas persetujuan terhadap tawaran pencarian Ocean Infinity berasaskan konsep ‘no find, no fee’.
“Keluarga mangsa menanggung kehilangan insan tersayang sejak 2014 dan masih menantikan penjelasan kukuh mengenai kehilangan pesawat ini. Harapan kami adalah agar penantian ini segera berakhir,” menurut kenyataan itu.
Pesawat MH370 dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital pada jam 6.30 pagi waktu tempatan, namun gagal dikesan menerusi radar dan tidak pernah sampai ke destinasinya.
Pencarian MH370 adalah antara operasi paling mahal dalam sejarah penerbangan dunia, membabitkan kos AS$200 juta (RM837.47 juta ketika itu) serta penyertaan 82 pesawat dan 84 kapal laut dari 26 negara.
BHonline-