• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Saturday, May 23, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Tuduhan Liwat Satu Konspirasi – Peguam Bela

oleh AK-47
29/10/2014
dalam Jenayah
0
Share on FacebookShare on Twitter

PUTRAJAYA — Para peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa pertuduhan liwat terhadap anak guam mereka adalah satu konspirasi.

Peguam Anwar, N. Surendran memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang Anwar telah didakwa meliwat, mengadakan pertemuan dengan beberapa orang, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum insiden liwat yang didakwa itu.

Beliau berkata pertemuan berlangsung antara 24 Jun, 2008, dua hari sebelum  insiden, dan 28 Jun 2008, apabila Mohd Saiful akhirnya membuat laporan polis.

Surendran berkata Mohd Saiful telah mengaku semasa pemeriksaan balas bahawa dia telah bertemu dengan Najib, yang pada waktu itu Timbalan Perdana Menteri, di kediaman Najib dan pada 24 Jun 2008 dan bahawa pada hari yang sama, beliau juga telah bertemu pegawai khas Najib Khairil Anas Yusof di rumahnya (Khairil Anas).

“Selepas itu beliau telah bertemu pegawai kanan polis Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof di Hotel Melia di Jalan Imbi pada 25 Jun. Mohd Saiful juga telah menghubungi Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hasan sebelum membuat laporan,” kata Surendran.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Mohd Saiful juga pernah bertemu bapa saudaranya dikenali sebagai “Tuah” sebelum bertemu Senator Mohd Ezam Mohd Noor dan orang yang terakhir dia bertemu adalah bekas pelari pecut Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar.

Surendran menegaskan ia adalah kemungkinan bahawa insiden yang didakwa berlaku direka-reka Mohd Saiful dan orang-orang yang ditemui beliau antara 24 Jun hingga Jun 28.

“Kewujudan rancangan yang diatur melibatkan Najib dan lain-lain telah dibangkitkan oleh Anwar dalam satu kenyataan dari kandang tertuduh tetapi Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal memberikan pertimbangan ini dalam keputusan mereka,” katanya.

Surendran bersetuju bahawa malah melalui satu kenyataan dari kandang tertuduh juga kurang pertimbangannya berbanding keterangan bersumpah, mahkamah sepatutnya memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas aduan oleh perayu (Anwar).

Bagaimanapun, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel lima hakim mendengar rayuan itu, mengingatkan Surendran supaya menunjukkan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyokong hujahnya berkaitan dengan kenyataan dari kandang tertuduh.

“Anda seharusnya menurut apa yang peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram (dalam pasukan pembelaan Anwar) telah lakukan, apabila dia mengemukakannya, dia menunjukkan undang-undang kes,” katanya.

Sebelum itu, dalam isu alibi, Sri Ram berhujah bahawa sebelum perbicaraan itu, Anwar telah memberikan notis mengenai alibi itu kepada pihak pendakwaan namun memutuskan untuk tidak meneruskannya apabila Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan gagal untuk memberikannya pertimbangan apabila anak guamnya mengeluarkan kenyataan dari kandang tertuduh.

Anwar menjelaskan kenapa beliau berbuat demikian dalam kenyataan dari kandang tertuduh, namun pihak pendakwaan menggunakan kenyataan itu terhadap perayu apabila merayu keputusan Mahkamah Tinggi, yang melepaskan Anwar selepas kes pembelaan.

“Notis alibi ini tidak diteruskan namun ia tidak boleh digunakan ke atas perayu. Mahkamah tertinggi perlu campur tangan apabila dengan jelas wujud arah yang salah,” kata Sri Ram.

Beliau memberitahu mahkamah tertinggi itu bahawa pemilik kndominium, hanya dikenali sebagai Hasanuddin, disoal siasat hampir 30 jam dan ia telah dirakamkan melalui video.

Ahli perniagaan itu mempunyai dua unit berdekatan satu sama lain di kondominium Desa Damansara, di mana alibi Anwar adalah beliau bukan berada di unit lain semasa insiden yang didakwa itu berlaku.

Sri Ram juga berkata walaupun Anwar berada di kondominium itu semasa tarikh dan masa yang didakwa itu, namun ia tidak bermakna insiden yang didakwa itu telah berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, prosiding yang ditetapkan untuk hari ini dan esok, berkemungkinan berterusan sehingga Khamis memandangkan dua lagi peguam pasukan pembelaan, Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur, akan mengemukakan analisis lanjut mengenai DNA yang menjadi isu utama kes ini.

Sementara itu, peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan, membayangkan bahawa beliau memerlukan sekurang-kurangnya sehari untuk menjawab.

Perbicaraan bersambung esok.– BERNAMA

Tags: Liwat
Share196Tweet123SendShare

Related Posts

Warga Asing Lapor Polis, Diliwat Kenalan Gimnasium

Warga Asing Lapor Polis, Diliwat Kenalan Gimnasium

06/07/2024
45

Petaling Jaya : Tindakan lelaki warga asing yang menerima pelawaan kenalan baru dikenali di gimnasium untuk berbual di rumah bertukar...

Ibu Kelar Bayi: Polis Ambil Keterangan Enam Individu

Suspek Liwat Dua Remaja 15 Tahun Direman Tiga Hari

19/03/2024
0

MERSING: Seorang lelaki ditahan reman tiga hari untuk siasatan kes liwat dua remaja lelaki berusia 15 tahun. IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd